Connect with:




Atlet Terengganu, Azreen Nabila Alias memperkukuhkan gelaran selaku ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018 apabila berjaya menduduki tempat pertama untuk acara 200 meter wanita bagi mengesahkan pingat emas ketiga peribadi buat kontinjennya, semalam.

Muncul sebagai pelari pertama ke garisan penamat dengan catatan 24.76 saat (s), Azreen nyata gagal ditandingi pelari tuan rumah, Shereen Samson Vallabouy yang meraih pingat perak (24.92s).

Turut sebagai atlet bukan pilihan dari Sabah, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa apabila mencatatkan masa 25.27.

“Saya tidak menyasarkan untuk menang emas dalam acara ini tambahan pula dengan kehadiran pelari Perak, Shereen, yang dianggap pilihan bagi acara ini (200m) dan jujur saya tidak sangka mampu mengetepikan atlet tuan rumah.

“Nasihat jurulatih untuk tidak memikirkan tentang pelumba lain serta terus berlari banyak membantu kekal fokus untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu, Azreen yang juga atlet pelapis negara meraih pingat emas pertama peribadi setelah memperbaharui rekod kejohanan dalam acara 100m berusia 10 tahun apabila melakukan catatan 11.81s sekaligus memadam rekod milik atlet Johor, Siti Fatimah Ahmad (11.82s) pada Sukma Terengganu 2008.

Azreen mengesahkan emas kedua miliknya menerusi kuartet wanita Terengganu yang dibarisi Nurul Alyssa Azman, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Siti Norzullaika Ramli, yang cemerlang dalam acara 4x100m dengan catatan masa terpantas 47.01s.