Hayatun Najihin merupakan bintang baharu seni pertahanan diri Muay Thai yang bakal beraksi di ONE Championship (Kejohanan seni pertahanan diri campuran).

Gadis berusia 18 tahun itu merupakan bekas peninju amatur, dengan rekod profesional Muay Thai 6-0 dan rekod peninju professional 1-0.

Hayatun merupakan peninju wanita terbaharu menyertai kontinjen ONE Championship selepas bintang MMA (seni pertahanan diri campuran), Ann Osman.

Katanya, dia berbesar hati dapat menyertai kontinjen ONE Championship dan berharap dapat buat yang terbaik untuk peminatnya.

“Menyertai ONE Championship merupakan satu penghormatan kerana ia merupakan platform MMA terbesar di Asia.

“Ini merupakan satu peluang untuk melonjakkan kerjaya saya dalam sukan ini, saya tidak sabar untuk membuktikan kepada semua peminat tanah air kemampuan saya ketika beraksi nanti,” katanya.

Pada seawal usia 18 tahun, Hayatun telah menunjukkan bakat dalam seni pertahanan diri terutamanya dalam disiplin Muay Thai.

Kini dia beralih arah kepada seni pertahanan diri campuran dan menyasarkan kedudukan terbaik dalam kejohanan tersebut.

“Saya amat bersyukur dengan segala peluang yang datang.selepas kejayaan kerjaya amatur saya pada tahun lalu, saya kini menyasarkan pula di peringkat seterusnya iaitu profesional.

“Saya tahu perjalanan saya mungkin berliku, tetapi dengan usaha dan dedikasi saya yakin cita-cita saya dapat menjadi realiti,” ujarnya lagi.