Connect with:




Masih segar lagi isu pergaduhan melibatkan pasukan bola sepak Johor, kini muncul sekali lagi insiden pertengkaran membabitkan skuad futsal Johor dan Wilayah persekutuan dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Perak.

Insiden tolak-menolak tersebut menyaksikan skuad futsal Johor tewas 4-6 di tangan Wilayah Persekutuan dalam aksi Kumpulan B yang bertempat di Manjung Indoor Sport Arena.

Memetik sumber NST, Jurulatih futsal Johor, Ahmad Hanif Sarmin bagaimanapun telah meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu berkenaan walaupun mengakui ada tercetusnya kekecohan antara kedua-dua belah pihak.

“Saya ingin memohon maaf atas yang telah berlaku. Saya berharap perkara ini tidak diperbesarkan kerana pemain kedua-dua pasukan telah memohon maaf selepas berakhirnya perlawanan,” kata Hanif.

“Saya tahu kejadian pergaduhan yang berlaku semasa perlawanan bola sepak antara Johor dan Terengganu masih hangat, dan saya selalu menasihati semua pemain tetapi mereka gagal untuk mematuhi serta mengawal emosi mereka.

“Bagi mereka yang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, saya berharap mereka tidak memperbesarkan isu ini kerana perlawanan itu berakhir dengan baik tanpa kecederaan.”

Terdahulu, perlawanan bola sepak Kumpulan B antara Johor dan Terengganu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim terpalit dengan layangan empat kad merah ekoran pertelagahan berlaku antara kedua-dua pasukan.

Perlawanan tersebut menyaksikan adegan provokasi dimana seorang pemain Johor dilihat menendang seroang pemain Terengganu pada masa tambahan (minit 90 + 4).