Fuad Buat Ujian Awal Bersama Kawasaki di Autopolis

 

Ahmad Fuad Baharudin  menaruh harapan agar dapat mengubah nasib malang yang sering menimpanya pada musim ini apabila bertandang ke Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun bermula 6 hingga 9 September ini.

Beraksi di gelanggang ujian bagi Kawasaki, Ahmad Fuad yang membawa cabaran pasukan Bike ART – Kawasaki Racing dalam kategori SuperSports 600cc kini sekadar di tangga ke-10 dalam senarai keseluruhan apabila sekadar mengumpul 30 mata setelah hanya menamatkan tiga daripada enam perlumbaan yang telah berlangsung sebelum ini.

“Segalanya serba tidak menjadi buat pasukan kami apabila hanya berjaya menamatkan satu perlumbaan pada setiap pusingan. Pada pusingan pertama di Sepang, saya dilanggar oleh pelumba lain dan menyebabkan saya tidak dapat memulakan Perlumbaan 2 (DNS) manakala sewaktu di Indonesia, saya terjatuh  manakala sewaktu Perlumbaan 1 di Zhuhai (Pusingan 3) jentera saya dan juga Katsuaki Fujiwara (Manual Tech BEET Kawasaki Racing) mengalami kerosakan teknikal,” katanya.

Walau bagaimanapun, Fuad yakin segalanya akan berubah memandangkan mereka telah membuat persediaan rapi termasuk menjalani sesi ujian di litar sepanjang 4.673km ini.

Yakin Nasib Malang Akan Berubah

 

“Sebelum perlumbaan di Zhuhai, semua pasukan Kawasaki telah melakukan sesi ujian di Autopolis terutama bagi menyesuaikan suspensi jentera dengan keadaan permukaan litar yang baru diturap semula. Keputusan yang diperoleh cukup positif memandangkan kami dapat mencatat masa yang lebih pantas berbanding catatan musim lepas. Pada hari Khamis dan Jumaat ini, kami akan lebih menumpukan kepada keupayaan enjin sahaja. Jadi, berdasarkan keputusan tersebut, kami sememangnya telah cukup bersedia, apatah lagi beraksi di gelanggang ujian rasmi bagi jentera Kawasaki pasti memberi kelebihan kepada kami. Mudah-mudahan kami berupaya mencapai keputusan baik pada perlumbaan minggu ini,” katanya.

Selepas tiga pusingan, Ryuichi Kiyonari (MUSASHi Boon Siew Hoda Racing) sedang mendahului senarai pelumba keseluruhan dengan mengumpul 113 mata diikuti Fujiwara, 112 mata dan Mohd Zamri Baba (PETRONAS Hong Leong Yamaha) ketiga, 100 mata.