Connect with:




Setelah kekal konsisten memenangi kejohanan tempatan, Pasukan Counter Strike : Global Offensive (CSGO) Malaysia, FrostFire mula memasang impian untuk menakluk dan menjadi kuasa besar Asia Tenggara.

Menurut laporan Astro Awani, Kapten FrostFire, Aiman Azham berkata, untuk mendominasi Asia Tenggara, segala percaturan dan langkah harus diatur dengan baik agar impian itu berjaya direalitikan.

Aiman menyifatkan kunci kejayaan yang terbaik untuk menjadi jaguh di rantau ini adalah kesabaran serta keserasian yang dipamerkan rakan sepasukan.

“Secara jujurnya, untuk sesebuah pasukan mempunyai keserasian serta komunikasi yang baik memang memakan masa yang agak lama.

“Kita ambil contoh ketika Malaysia merupakan kuasa besar arena CSGO Asia Tenggara 2016, untuk mencapai tahap itu, dua tahun diperlukan untuk memupuk keserasian antara ahli pasukan.

“Ramai yang tidak tahu betapa para pemain berkerja keras untuk mengekalkan prestasi bagi mencapai sasaran menjadi kuasa besar Asia Tenggara dan ianya tidaklah semudah yang dilihat,” katanya yang ditemui sejurus selepas upacara penutup Kejohanan Dunia Sukan Elektronik (WESG) Kelayakan Malaysia yang berlangsung di Quill City Mall semalam.

Pada kejohanan itu, FrostFire dinobatkan selaku juara apabila mengetepikan cabaran Cove Esports 2-0 pada pentas akhir, sekaligus menjadi wakil negara ke kejohanan peringkat Asia Tenggara nanti.

Terdahulu, FrostFire telah menempah slot ke Kejohanan Dunia Persekutuan E-sukan Antarabangsa (IESF), kejohanan Zowie Extremesland dan MSI Grand League.

Selain Aiman selaku kapten pasukan, FrostFire turut dibarisi Shamir Aliff, Ahmad Khalish Rusyaidee, Mohammad Ashraf, Firdaus dan Azim Shaharudin.

CSGO adalah permainan video menembak berbilang pemain yang telah dimainkan sekian lama oleh peminat Esports di negara ni, ianya dicipta oleh Hidden Path Entertainment dan Valve Corporation.

Tahun lalu, Kejohanan Sukan Elektronik Dunia (WESG) telah menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak RM6.06 juta.