Wakil dari setiap 8 pasukan memberi aksi istimewa di sidang media Frenz International Cup yang diadakan di Hotel Best Western Premier.

Wakil dari setiap 8 pasukan serta pengerusi kejohanan Dato’ Noor Ihsan A Hamid memberi aksi istimewa di sidang media Frenz International Cup yang diadakan di Hotel Best Western Premier.

 

Cabaran besar menanti 2 wakil negara iaitu Frenz United Malaysia dan pasukan bawah 15 tahun Malaysia dalam kejohanan Frenz International Cup yang akan membuka tirainya Jumaat ini.

Kedua-dua pasukan dari Malaysia ini berada dalam kumpulan A bersama-sama pasukan dari Korea, Incheon Selection serta wakil Republik Czech, Slavia Praha.

Incehon Selection merupakan pasukan bawah umur Korea paling berjaya tahun ini selepas menjadi juara dalam kebanyakan kejohanan tempatan yang disertai. Slavia Praha pula masih segar dengan kejayaan mereka menjuarai Piala Barcelona.

Pengendali Frenz United, Mat Dinos Talib berharap anak buahnya dapat menampilkan aksi bertenaga sepanjang kempen Frenz International Cup ini.

“Ini peluang terbaik buat pemain-pemain saya bersaing dan membuktikan kehebatan mereka menentang dengan pasukan pasukan antarabangsa yang sememangnya sudah kukuh dalam pembangunan pemain-pemain muda” katanya.

Bagi pengurus pasukan Incheon Selection, Kim Si Suk pula mengakui Frenz United mempunyai sedikit kelebihan lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong sendiri.

“Kami telah memilih pemain terbaik di daerah Incheon untuk kejohanan ini. Saya harap objektif utama kami iaitu memberi pendedahan berguna kepada pemain-pemain muda terhadap kejohanan antarabangsa dapat memberikan hasil positif” kata Si Suk.

Sementara itu dalam kumpulan B, 4 pasukan yang akan merebut 2 slot ke separuh akhir adalah pasukan bawah 15 tahun Slovakia, Frenz United Indonesia, Perspolis (Iran) dan juga Chonburi FC dari Thailand.

Dua venue utama kejohanan akan menjadi gelanggang buat pasukan-pasukan muda ini berentap iaitu Stadium MBPJ Kelana Jaya dan juga Stadium Shah Alam selain turut melibatkan venue sampingan iaitu Stadium Inspen, Bangi. Beberapa perlawanan turut akan disiarkan secara langsung di kaca televisyen melalui saluran Astro Arena.

Juara akan membawa pulang US$ 50,000. Naib juara pula akan menerima US$ 25,000 sementara tempat ketiga menerima US$ 15,000. Tidak ketinggalan, hadiah wang tunai US$ 3,000 kepada pemain terbaik kejohanan.

Maklumat lanjut mengenai kejohanan yang berlangsung dari 28 Disember hingga 6 Januari ini boleh diperolehi di laman rasmi kejohanan www.frenzinternationalcup.com