Connect with:




Rakyat Malaysia disatukan dengan kepelbagaian dan persamaan samada dari segi makanan mahupun kesetiaan kita terhadap negara. Namun tidak dinafikan sukan mempunyai tarikan yang lebih luar biasa, terutamanya sukan bola sepak yang mampu menyatukan rakyat Malaysia.

Dalam usaha untuk menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) telah memperkenalkan ‘Footbraille’, sebuah solusi baharu yang dapat membantu komuniti cacat penglihatan untuk menikmati keterujaan  perlawanan bola sepak. Prototaip ‘Footbraille’ ini dan manfaatnya telah diperkenalkan melalui video hari kebangsaan Digi untuk tahun ini.

“Kami sentiasa mencari inspirasi dan kaedah baharu melalui penggunaan teknologi bagi membina hubungan yang lebih bermakna. Kami percaya bahawa setiap warga Malaysia harus diberi peluang untuk memanfaatkan kuasa internet dan teknologi. Dan hari ini, kami telah menyatukan minat dan semangat patriotisma atlet-atlet negara kita dengan detik yang paling ikonik dalam sejarah sukan negara yang dilakar lebih 39 tahun yang lalu – apabila skuad Malaysia berjaya menumpaskan Korea Selatan 2-1 dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980. Dengan penggunaan teknologi yang inovatif, secara inklusif kami dapat menghubungkan komuniti insan kelainan upaya ini dengan sesuatu yang amat bermakna buat diri mereka, iaitu minat mereka terhadap sukan bola sepak melalui pengalaman imersif,” ujar Joachim Rajaram, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi.

“Projek ini bukanlah suatu tugasan yang mudah, namun kami berasa amat bertuah untuk menjadi sebahagian daripadanya, terutamanya apabila kami berpeluang untuk melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah ahli pasukan bola sepak cacat penglihatan yang buat pertama kalinya dapat merasakan perlawanan bola sepak.

“‘Sementara dunia ini menganjak ke hadapan secara digital, ia mengukuhkan lagi kepercayaan kami bahawa usaha yang dicurahkan untuk memastikan tiada insan yang diabaikan atau ditinggalkan merupakan satu usaha yang amat berbaloi,” tambah beliau.

‘Footbraille’ merupakan sebuah prototaip yang bakal merevolusikan cara individu cacat penglihatan menikmati keterujaan sukan bola sepak sama seperti rakan-rakan mereka yang lain. Dibangunkan oleh Digi, ‘Footbraille’ ialah meja sesentuh yang dihubungkan tanpa wayar dengan sebuah peranti menerusi perisian khas,  dan ia dapat menjejak pergerakan bola serta memberikan respons sentuhan yang membolehkan pengguna merasai perlawanan bola sepak yang sedang dimainkan. Pengalaman ini turut diperkayakan lagi dengan suara ulasan perlawanan untuk membolehkan para pengguna benar-benar mendalami permainan tersebut.

Beberapa peranti ‘Footbraille’ dapat dihubungkan pada masa yang sama untuk membolehkan para pengguna mengamati perlawanan bola sepak yang mereka minati bersama. Dalam fasa yang seterusnya, kebolehan ‘Footbraille’ akan diuji untuk menyiarkan perlawanan bola sepak dalam masa nyata bagi perlawanan yang bersiaran langsung dan boleh juga digunakan semasa latihan. Solusi ini boleh disesuaikan untuk pelbagai acara sukan dan kegunaan yang lain.

Untuk matlumat lanjut tentang ‘Footbraille’, tontoni video hari kebangsaan Digi di http://digi.my/footbraille.