Teo Tong Wah (tiga dari kiri) menyampaikan replika penajaan Fleet kepada Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) di Kepong, baru-baru ini.

 

Kejayaan Datuk Lee Chong Wei menyumbangkan pingat perak Sukan Olimpik buat negara, baru-baru ini, mencetuskan idea luar biasa Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) untuk memilih sebuah jenama peralatan badminton, Fleet sebagai penaja terbaru mereka.

Sekalipun daripada jenis sukan yang berbeza, tiada salahnya buat Keris mencuba pendekatan berani tetapi kreatif ini demi mengikut jejak cemerlang jagoan badminton Malaysia itu selaku satu-satunya pemenang pingat Olimpik berturut-turut, Beijing 2008 dan London 2012.

Bermatlamat memburu kejayaan lebih besar pada kejohanan terbuka khususnya sekitar Lembah Klang, Keris juga berasa cukup bertuah malah bakal lebih bersemangat dengan suntikan penajaan Fleet yang berupa kelengkapan pasukan itu.

Sumbangan barangan Fleet, jenama terkenal Jepun itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Fleet International Holdings Sdn. Bhd., Teo Tong Wah di sebuah pusat sukan, baru-baru ini kepada Pengurus Keris, Abdul Hafiz Ahmad yang turut disertai beberapa pemain Media.

“Badminton dan sepak takraw sebenarnya pernah berkongsi gelanggang, sistem kiraan mata malah jaring dan tiang permainan malah kerusi pengadil yang sama, satu ketika dulu. Justeru ia bukan satu pendekatan asing untuk Fleet menjadi penaja kelengkapan Keris.

“Yang pasti, sokongan Fleet bakal terus menyuntik semangat dan keyakinan Keris dalam memburu kejayan lebih besar malah sejajar slogan kami, ‘Demi Warisan Merintis Pembaharuan’,” kata Abdul Hafiz selepas penyerahan penajaan Fleet yang turut dihadiri Pengurus Besarnya, Lim Hui Hui, baru-baru ini.

Kata Tong Wah, “penajaan ini merupakan salah satu cara Fleet (yang berpangkalan di Muar, Johor) menghargai dan mengiktiraf peranan media dalam mempopularkan apa sahaja jenis sukan di Malaysia sama ada menerusi tugas tetap mereka mahupun apabila menjadi pemainnya.

“Kami percaya penggiat sepak takraw mampu turut mencapai kejayaan besar yang setanding dengan badminton di peringkat antarabangsa, tidak lama lagi asalkan ia terus diberikan sokongan padu,” katanya yang juga Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Cina Muar (CCCM).