Connect with:




Impian untuk menjulang trofi kejuaraan Piala Malaysia menjadi nyata buat pemain berdarah kacukan pasukan Perak, Brendan Gan apabila beliau menjadi pencetus kepada kebangkitan menakjubkan pasukan Seladang yang bangkit mengatasi Terengganu FC I (TFC I) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Shah Alam kelmarin.

Brendan yang dinobatkan selaku Pemain Terbaik Perlawanan mula memberi masalah kepada benteng pertahanan Sang Penyu apabila umpanan cantik beliau dihadapan pintu gol berjaya di sudahkan Muhd. Firdaus Saiyadi.

Pemain kacukan Malaysia-Australia itu nyata menjadi mimpi ngeri buat Sang Penyu apabila gol ledakkannya pada penghujung babak kedua berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam bertindak cemerlang menyelamatkan dua sepakan penalti pemain Terengganu setelah keputusan terikat 3-3 tamat 30 minit masa tambahan.

Menurut Brendan, meledakkan gol pada pentas final umpama mimpi menjadi realiti buat dirinya yang mengakui memasang impian untuk memahat nama selaku penjaring dalam perlawanan akhir itu. Tambahan pula sepanjang kariernya sebagai pemain, Brendan tidak begitu mahir merobek gawang lawan jika melihat kepada jumlah yang dijaringkan sepanjang karier beliau.

“Semasa sesi latihan sebelum perlawanan akhir, saya ada bergurau dengan rakan sepasukan bahawa saya akan melakukan jaringan pada saat genting. Jaringan itu sangat menarik dan bermakna buat saya kerana itu adalah jaringan pertama saya menggunakan kaki kiri.

“Saya gembira berjaya membantu Perak untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan kerana bagi saya, kami berhak untuk menang,” kata bekas pemain Kelantan itu selepas tamat perlawanan.

Tahun lalu merupakan episod hitam yang terpaksa dihadapi Brendan apabila beliau terpaksa berehat panjang akibat kecederaan berulang yang dialaminya dan kejayaan menjulang trofi pertama sepanjang karier profesionalnya itu pasti sedikit mengubati duka musim lalu.

“Musim lalu sangat sukar buat saya yang menghadapi siri kecederaan berulang. Ini (Piala Malaysia) adalah trofi pertama saya sebagai pemain dan ianya suatu bonus buat saya yang menanti cukup lama.

“Buat masa ini, saya mahu meraikan kemenangan ini dulu sebelum memikirkan hala tuju seterusnya samada kekal atau sebaliknya,” ujarnya lagi.

Foto : Facebook The Bos Gaurus

Sumber : Bernama