Kemuncak Piala FA musim ini akan berakhir pada Sabtu, 20 Mei dengan peminat bolasepak tempatan bakal disajikan dengan pertemuan dua pasukan yang menampilkan corak permainan menghiburkan, Kedah dan Pahang.

Kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri namun pasukan manakah yang mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi tiket ke Piala AFC musim depan ini? Dunia Sukan bawakan sedikit analisis ringkas kedua-dua pasukan.

KEDAH

Juara Piala Malaysia 2016 ini antara pasukan yang paling mencuri tumpuan selepas dilihat menjadi pasukan pencabar utama JDT di saingan liga. Bagaimanapun akhir-akhir ini prestasi mereka di saingan liga sedikit merosot ditambah pula dengan episod kehilangan pengemudi pasukan, Tan Cheng Hoe yang berhijrah ke FAM.

Nizam Adha Yusof mungkin belum boleh menandingi legasi yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe namun pengalamannya sebagai penolong jurulatih di Liga Malaysia agak besar. Ia dapat membantu bekas pemain kebangsaan ini dalam berdepan aksi final pertamanya sebagai ketua jurulatih.

Laluan ke final Kedah sebeanrnya agak mudah. Kedah berdepan 3 pasukan Liga Premier (Kuala Lumpur, PKNP dan Terengganu) dan hanya Perak dari Liga Super sebelum ke final. Namun ia bukan bermaksud Lang Merah bernasib baik kerana pasukan ini sememangnya sudah kuat dari segenap posisi.

Paling menggerunkan pastinya gandingan Badrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi dan Sandro. Sandro ibarat pemain yang baru dilahirkan semula selepas mengubat kecederaan belakangnya dengan pakar di negara kelahirannya iaitu Brazil. Liridon pula perlu bijak untuk mengeluarkan skill-skill pada masa yang bertepatan sementara Badrol terkenal dengan hantarannya yang berbahaya.

Dengan pengumuman bonus RM 20000 kepada setiap pemain oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah yang juga Presiden KFA, ia pasti memberi tonik tambahan untuk Hijau Kuning sekaligus merealisasikan misi kejuaraan Piala FA keempat mereka.

 

PAHANG

Selepas mengalami kemorosotan musim lalu, Pahang kini kembali bangkit apatah lagi menerima kembali sentuhan pengendali yang telah menaikkan nama Tok Gajah beberapa musim lalu, Dollah Salleh.

Dollah mempunyai rekod yang bercampur-campur – ada yang baik (menerusi PDRM, Selangor, Pahang) dan ada yang buruk (Perlis dan Malaysia). Namun satu perkara yang harus diakui adalah bagaimana Dollah mampu membentuk kembali karier pemain yang tenggelam.

Dollah membawa masuk Wan Zaharulnizam, Syamim Yahya, Joseph Kallang Tie, Muslim Ahmad, Afif Amiruddin dan mereka semua antara tonggak penting bua skuad Tok Gajah.

Penyerang import, Mattheus Alves juga bakal menjadi cabaran besar buat pertahanan Pahang. Alves boleh diibaratkan seperti penyerang Brazil, Hulk. Penyudah yang tajam dengan fizikal yang tegap, Alves pasti menjadi sandaran utama Dollah.

Tidak dilupakan pemain dari Gambia, Mohamadou Sumareh. Lincah dan sukar merampas bola dari pemain ini. Kejayaan Pahang di Stadium Shah Alam nanti juga akan merekodkan pencapaian tersendiri buat Mathew Davies sebagai ketua pasukan termuda (21 tahun) untuk merangkul kejuaraan Piala FA.
RAMALAN DUNIA SUKAN?

Ia akan menjadi satu perlawanan yang hebat dalam suasana yang juga hebat kerana kedua-dua pasukan memiliki sokongan luar biasa dari para penyokong mereka.

Jangkaan Dunia Sukan, perlawanan akan berlangsung dengan sengit namun berdasarkan analisis kami, Pahang mungkin sedikit berkelebihan untuk memenangi perlawanan ini.

Apa pula ramalan anda?

 

Foto Kredit: www.asiana.my