Pertembungan antara Terengganu dan Negeri Sembilan di pentas akhir Piala Malaysia 2011 pada 29 Oktober ini pastinya menjanjikan persaingan sengit. Kedua-dua pasukan terbukti mempunyai rangkaian pemain yang bijak melakukan penyudah yang berkesan.

Terengganu: Serba lengkap

Serba lengkap! Itulah ungkapan mudah untuk menggambarkan keseluruhan pemain Terengganu sepanjang kempen Piala Malaysia kali ini.

Di bahagian serangan, Terengganu memiliki Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsuddin yang kerap kali berjaya merobek gawang lawan disamping barisan pemain seperti  Joseph Kallang Tie dan Abd Hadi Yahya yang mampu melakukan serangan pantas yang tersusun dan berkesan.

Jaguh dari Pantai Timur ini sudah menjaringkan 17 gol dan 11 daripadanya adalah sumbangan Manaf dan Ashaari. Manaf Mamat terutamanya mampu mencari ruang dan peluang yang diberikan rakan-rakannya serta bijak menyudahkannya dalam keadaan apa sekalipun.

Keberkesanan jentera serangan skuad Penyu ini banyak dibantu oleh keserasian permainan, bijak menghidu peluang dan pantas mencari ruang untuk mengumpan bola ke kubu lawan.

Kallang Tie dan Reesyafiq Alwi antara tunjang di bahagian tengah yang boleh mencipta peluang untuk bahagian hadapan serta mampu melakukan percubaan jauh yang merbahaya.

Manakala pemain pertahanan berpengalaman dan juga kapten, Marzuki Yusof pastinya pilihan utama Irfan Bakti untuk mengawal benteng pertahanan mereka dibantu oleh pemain-pemain muda iaitu Faizal Muhammad, Mazlizam Mohamad dan Zubir Azmi.

Bak kata Irfan Bakti, ini adalah musim Terengganu. Dengan kejayaan sebelum ini iaitu memenangi Piala FA 2011, tidak mustahil untuk pasukannya membawa pulang Piala Malaysia pula.

Negeri Sembilan: Hai-O dan Shahurain Faktor Penentu

Negeri Sembilan juga boleh tampil gah di pentas final kali ini dengan memiliki penjaring terbanyak Piala Malaysia setakat ini iaitu Hairuddin Omar dengan 7 golnya daripada 19 gol yang dihasilkan pasukannya.

Selain itu, kehadiran Shahurain Abu Samah bersama S. Kunanlan di kubu lawan pasti mengundang resah lawan kerana kemampuan mereka untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan kepantasan dan kelincahan mereka.  

Shahurain Abu Samah dan Hairuddin Omar antara yang boleh menjadi pemusnah impian Terengganu untuk mengulangi sejarah 10 tahun lalu. Kedua-dua pemain ini pernah beraksi dalam dua final sebelum ini dan juga menjaringkan gol dalam kedua-dua edisi, iaitu pada 2009 dan 2010.

Final 2009 mereka berdua berjaya menamatkan penantian 61 tahun Negeri Sembilan dengan menewaskan Kelantan 3-1 hasil jaringan mereka bersama Zaquan Adha.

Sebaliknya, untuk final 2010, mereka menjadi lawan dengan Hairuddin membantu Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 melalui jaringannya bersama Badri Radzi. Satu gol Negeri Sembilan adalah hasil jaringan Shahurain.

Berdasarkan rekod itu, Shahurain dan Hairuddin pastinya mampu mengulanginya dan menyumbang pada kejayaan pasukan mereka kini. Pengalaman mereka menjaringkan gol di peringkat akhir Piala Malaysia pastinya ditagih sekali lagi oleh jurulatih dan para penyokong mereka.

Jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah juga pernah menyuarakan pendapat bahawa Hairuddin adalah sumber inspirasi pasukannya dan mengundang resah pada lawannya. Pada usia 32 tahun, Hairuddin dilihat masih berbisa malahan kebanyakkan golnya adalah melalui tandukannya.