Selangor kembali diperkuatkan dengan Rozaimi dan Asrarudin

 

Aksi final di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam seandainya melepasi halangan Kelantan pada Jumaat ini menjadi motivasi terbaik buat Selangor dalam memburu “Misi 33” mereka.

Begitulah yang diungkapkan pengendali Merah Kuning, Irfan bakti yang ditemui selepas sesi latihan semalam. Irfan menegaskan peluang masih terbuka luas untuk Selangor melayakkan diri ke perlawanan akhir walaupun bakal beraksi tanpa beberapa tonggak utama.

“Walaupon tanpa kelibat Nasriq yang digantung, kita kembali diperkuatkan Rozaimi dan Asrarudin yang semakin pulih dari kecederaan. Jadi saya percaya Selangor mampu menumpaskan Kelantan di Shah Alam nanti” jelas Irfan yang mula mengemudi Selangor awal musim ini.

“Saya juga percaya Kelantan akan bermain secara bertahan selepas memiliki kelebihan 1 gol tetapi yang penting bagi saya buat masa ini adalah pemain-pemain saya perlu memberi lebih dari 100% ketika bermain” jelas Irfan lagi.

 

Selangor tidak tertekan

 

Nada yang sama turut dikongsi ketua pasukan, Safiq Rahim yang menyakini Selangor mampu meneruskan kempen Piala Malaysia mereka walaupon kelebihan sedikit dimiliki pasukan Kelantan.

“Kita akan bermain seperti biasa dan yang penting kita bermain sebagai satu pasukan. Rakan-rakan saya semuanya semakin yakin menjelang pertemuan Jumaat nanti” jelas Safiq yang masih memburu pingat kejuaraan Piala Malaysia pertamanya.

Ketika mengulas tekanan yang dihadapi untuk beraksi dihadapan lautan Merah Kuning di Shah Alam nanti, Safiq dengan tenang mengatakan dia menganggap itu perkara biasa lebih-lebih lagi di peringkat separuh akhir ini.

“Bagi saya, setiap perlawanan ada tekanan. Mungkin ramai yang berkata Selangor akan menghadapi tekanan beraksi di laman sendiri nanti, tapi bagi saya dengan semangat penyokong yang hadir, itu sebenarnya menjadi kelebihan dan motivasi buat kami nanti” kata Safiq yang jelas bersemangat menutup andaian sesetengah pihak yang mengatakan Kelantan pasukan ‘badi’ buat Selangor.

Pada pertemuan separuh akhir pertama, Kelantan berjaya menewaskan Selangor 1-0 menerusi jaringan NorFarhan Muhamad.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor menumpaskan Kelantan di Shah Alam ialah pada 2009 dalam saingan Liga Super. Kemenangan 1-0 Selangor dalam Liga Super 2012 pula dihasilkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.