Connect with:




Walaupun diuji dengan kehilangan daya penglihatan, atlet Sarawak, Filemon Lirong Dionisus buktikan kecacatan itu bukan penghalang untuk dia berjaya menghadiahkan pingat emas yang kedua buat kontinjen Sarawak dalam acara 400 meter (m) T11 (cacat penglihatan) Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dengan catatan 63.21 saat (s) pada hari ini.

Semalam, dia telah menyingkirkan peserta yang lain sekaligus merangkul emas petama dalam acara 100m bagi kategori sama.

Filemon Lirong, 23, berkata, beliau tidak akan sesekali berputus asa walaupun menghadapi pelbagai kesukaran meneruskan minatnya dalam acara olahraga.

Dia yang merupakan anak kelima dari lapan orang adik beradik itu berkata, penglihatannya hilang sepenuhnya selepas diserang demam panas awal tahun ini.

“Semasa saya masih boleh melihat saya memang minat dan sentiasa bersukan. Setiap hari selepas kerja saya akan bersukan sama ada bermain bola, futsal atau takraw,” katanya.

Dalam perkembangan lain, usaha anak kelahiran Bintulu itu membuahkan hasil apabila atlet tersebut kini dalam pemerhatian Majlis Sukan Negara (MSN).

FOTO: BERNAMA