Connect with:




Terdapat banyak kategori filem yang dihasilkan dari pengarah dan penerbit seluruh dunia. Ada yang menceritakan kisah percintaan, peperangan, aksi, komedi dan pelbagai lagi kerana kisah dunia ini bermacam-macam dan sangat luas. Tetapi apa yang menarik perhatian dan fikiran adalah filem yang berkonsepkan sukan.

Sukan bukan hanya sekadar melibatkan pergerakan atau aktiviti fizikal malah ia turut merangkumi aspek emosi, kekeluargaan, keyakinan dan yang paling penting adalah sikap tidak putus asa walau apa pun yang terjadi.

Malah terdapat filem sukan yang dicipta kisah benar sama ada kisah perjalanan hidup seseorang atlet mahupun kejayaan mereka. Mungkin peminat gusti pasti pernah mendengar kisah Paige atau nama sebenarnya Saraya-Jade Bevis dalam World Wrestling Entertainment (WWE) dan perjalanannya ke puncak gusti profesional.

Kisah beliau telah dijadikan filem yang bertajuk Fighting with My Family arahan Stephen Merchant yang bakal keluar pawagam Malaysia bermula 11 April ini. Filem ini bercerita tentang berjuang bersama keluarga. Kisahnya terinspirasi dari kisah benar bintang WWE, Paige yang luar biasa dan mengharukan. Filem ini dibintangi oleh Florence Pugh (The Little Drummer Girl) sebagai Saraya Knight / Paige, Jack Lowden (Dunkirk) sebagai abangnya Zak, dan Dwayne Johnson atau ‘The Rock’ sebagai watak dirinya dalam WWE.

Paige atau nama sebenarnya Saraya-Jade Bevis.
Foto : Sportkeeda

Dilahirkan dalam keluarga yang sangat erat dan semua orang dalam keluarga Bevis adalah ahli gusti professional, dari ibu bapa Patrick dan Julia kepada adik-beradik Paige dan Zak. Suatu hari, Paige dan abang lelakinya Zak gembira apabila mereka mendapat peluang seumur hidup untuk mencuba untuk WWE. Ketika menjalani latihan, hanya Paige mendapat tempat dalam program latihan yang kompetitif, dia mesti meninggalkan orang yang tersayang iaitu keluargnaya dan perlu menghadapi dunia lebih mencabar.

Perjalanan Paige mendorong untuk pergi lebih jauh dan perjuangan Paige hanya untuk keluarganya. Akhirnya beliau membuktikan kepada dunia bahawa apa yang membuatnya berbeza adalah perkara yang boleh membuatnya menjadi bintang.

Pasti peminat filem genre sukan, komedi dan drama akan tertunggu-tunggu filem ini terutamanya kepada peminat gusti. Bukan filem sukan ini saja yang pernah mengisahkan kisah benar, artikel ini akan senaraikan tiga lagi filem adaptasi sukan dari kisah benar.

 

  1. Lee Chong Wei: Rise Of The Legend (2018)

Lee Chong Wei: Rise of the Legend ialah filem biopik Malaysia  arahan Teng Bee, mengenai kisah inspirasi ikon badminton negara Datuk Wira Lee Chong Wei, yang bangkit dari kemiskinan untuk menjadi pemain badminton terbaik di dunia. Filem ini berdasarkan dari buku autobiografi Lee Chong Wei sendiri pada 2012 yang bertajuk Yang Berani Menjadi Juara (Dare To Be A Champion). Bintang filem ini ialah dua pendatang baru yang memegang watak Chong Wei, Jake Eng yang berusia 13 tahun dan Tosh Chan yang berusia 22 tahun, yang dipilih dari lebih daripada 2000 orang yang datang uji bakat.

Datuk Lee Chong Wei

Filem ini bermula apabila seorang budak lelaki meminta Chong Wei tips bagaimana untuk menjadi pemain yang terbaik selepas dia bermain badminton. Dengan pertanyaan itu, ia membawa Chong Wei kembali ke zaman kanak-kanaknya yang sukar dan kisah bagaimana beliau mengatasinya kesukaran perjalanan hidupnya ketika itu. Filem ini mempunyai gabungan kisah sebenar dalam perjuangan dan fiksyen dramatik di mana waktu kemuncak pada final Terbuka Malaysia 2006 apabila Chong Wei bangkit secara ajaib dan mustahil dengan menyelamatkan lapan mata perlawanan ketika menentang musuh tradisinya Lin Dan dari China untuk menjuarai kejohanan itu.

Filem ini dilakonkan oleh Jake Eng sebagai Chong Wei muda, Tosh Chan sebagai Chong Wei dewasa, Mark Lee sebagai Lee Ah Chai (bapa Chong Wei), Yeo Yann Yann sebagai Khor Kim Chooi (ibu Chong Wei), Ashley Hua sebagai Wong Mew Choo (rakan dan kepentingan cinta Chong Wei), Rosyam Nor sebagai Misbun Sidek( jurulatih pasukan kebangsaan Chong Wei), Freddie Wong sebagai Teh Peng Huat (jurulatih junior Chong Wei), Uriah See sebagai Yang Kun Cheng (pesaing Chong Wei) dan beberapa orang lagi.

 

  1. Dangal (2016)

Dangal merupakan sebuah filem sukan gusti berbahasa Hindi India yang diarahkan oleh Nitesh Tiwari dan dihasilkan oleh Aamir Khan. Kisah filem ini menceritakan berdasarkan kisah benar tentang Mahavir Singh Phogat lakonan Amir Khan yang mengajar anak perempuannya iaitu Geeta Phogat dan Babita Kumari tentang sukan gusti yang sememangnya dikuasai oleh kaum lelaki.

Babita Kumari (kiri), Amir Khan dan Geeta Phogat (kanan).
Foto: India Today

Pada permulaannya Mahavir memang teringin mendapatkan anak lelaki untuk mengikut jejak langkahnya seterusnya dapat mewakili India dalam sukan gusti itu. Walau bagaimanapun, semua anak Mahavir adalah perempuan dan menyebabkan Mahavir tidak dapat menunaikan impiannya itu.

Pada Suatu hari dua anak perempuan Mahavir telah memukul budak lelaki dengan agak teruk dan membuatkan Mahavir terpikir yang anak perempuannya itu berkemungkinan dapat menunaikan impiannya, seterusnya dia mula melatih kedua – dua anak perempuannya itu.

Sejak itu, Mahavir melatih anaknya dengan latihan yang keras sehingga anaknya memberontak dan merasakan ayahnya sengaja menderanya. Tetapi akhirnya Geeta dan Babita sedar akan niat dan tujuan ayah mereka berbuat demikian. Malah hasil didikan Mahavir ini akhirnya membuahkan hasil apabila anak perempuannya itu berjaya mendapat pingat Emas dan Perak dalam Sukan Komanwel sekaligus menjadi inspirasi kepada orang lain.

 

  1. Hitting The Apex (2015)

Filem Hitting The Apex merupakan dokumentasi dari sukan bermotor paling popular di dunia, MotoGP arahan Mark Neale. Filem ini menceritakan kehidupan para pelumba, kru dan tokoh-tokoh dalam sukan bermoto ini. Bukan hanya sekadar persiapan perlumbaan tetapi ia juga menceritakan tentang perjalanan serta masalah yang terjadi diantara pelumba dengan kru mereka.

Secara dasarnya, filem ini menceritakan perjalanan enam pelumba terpantas di dunia waktu itu iaitu Valentino Rossi, Jorge Lorenzo, Casey Stoner, Marc Marquez, Dani Pedrosa dan mendiang Marco Simoncelli. Filem berdurasi 138 minit ini, dikupas bagaimana keenam pelumba tersebut mula mengenal sukan bermotor dan mula bergita dalam dunia perlumbaan.

Penonton boleh melihat bagaimana mereka berlatih, berlumba dan juga berhadapan dengan kematian. Tidak hanya di litar, filem ini menyajikan aspek emosi pelumba di belakang lita seperti pertengkaran antara Lorenzo dan Simoncelli yang cukup mendebarkan. Pedrosa yang tidak mahu bersalaman dengan Simoncelli serta geseran antara Pedrosa dan Marquez ketika mereka berebut kejuaraan untuk mengejar Lorenzo.

Malah beberapa hal yang tidak pernah diketahui umum juga terdapat dalam filem ini. Contohnya Rossi akan ke sebuah gereja di kampung halamannya untuk membunyikan lonceng setiap kali beliau menang perlumbaan dan mengisahkan di tanah kelahiran Simoncelli yang akan menyemburkan api selama 58 saat setiap hari minggu untuk mengenang memori Marco Simoncelli.

Untuk peminat MotoGP atau baru saja mengemarinya, filem ini merupakan filem yang harus ditonton. Supaya penonton akan tahu bagaimana perjuangan para pelumba tersebut mampu sampai ke kedudukan sekarang dan mungkin filem ini juga akan membuatkan penonton mengetahui kenapa ramai orang mengagumi Valentino Rossi.