Connect with:




Jawatankuasa penganjuran FIFA setuju dan menyokong penggunaan teknologi Video Assistant Referee (VAR) untuk Piala Dunia Wanita 2019 di Perancis tahun ini.

FIFA bermesyuarat hari ini dan menyokong penggunaan VAR pada kejohanan itu selepas diperkenalkan pada Piala Dunia di Russia tahun lalu.

Timbalan Setiausaha Agung (FIFA), Zvonimir Boban berkata: “Pengerusi jawatankuasa pengadil FIFA telah mengemaskini kepada kami mengenai kemajuan yang dibuat berkaitan dengan pelaksanaan VAR di Piala Dunia FIFA Wanita 2019.

“Berdasarkan kerja keras yang dilakukan sepanjang beberapa bulan yang lalu, FIFA gembira dengan langkah-langkah yang diambil dan kerja cemerlang yang dilakukan oleh pasukan pengadil FIFA dan pengadil wanita yang terlibat”, tambah Zvonimir.

Julai tahun lalu, jurulatih Amerika Syarikat, Jill Ellis berkata: “Saya tidak tahu mengapa mereka tidak menggunakan VAR, saya fikir ia sedikit memalukan jika kami tidak mendapat peluang sama seperti pasukan lelaki”.

VAR telah digunakan oleh sebahagian besar liga utama di Eropah seperti Bundesliga, Serie A, dan La Liga. Lebih menarik perhatian, VAR turut digunakan pada peringkat kalah mati Liga Juara-Juara buat kali pertama musim ini.

Turut dalam perancangan menggunakan VAR adalah Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sebelum ini hanya menggunakan VAR dalam perlawanan Piala FA.

Majlis FIFA akan membuat keputusan akhir sama ada teknologi itu akan digunakan pada kejohanan wanita tahun ini yang akan berlangsung dari 7 Jun hingga 7 Julai depan apabila mereka bersidang di Miami akhir bulan ini. – Reuters

FOTO : Sportskeeda