Felda United yang sebahagian besarnya dibarisi muka-muka baru tekad memberikan saingan sengit kepada pencabar dalam kejuaraan Liga Super 2013 meskipun menyedari saingan kali ini begitu mencabar dengan kehadiran pemain-pemain bintang dalam beberapa pasukan lain.
Bagi pengendali Felda, K.Devan, persiapan pasukan setakat ini telah memasuki fasa terakhir dengan fokus diutamakan untuk mendapatkan keserasian pemain dalam satu pasukan.
“Pasukan kali ini terdiri dari ramai pemain baru jadi memang akan ambil masa sedikit untuk mendapatkan keserasian.
“Namun saya percaya, dengan adanya gabungan pemain-pemain muda dan pemain-pemain berpengalaman seperti Fauzi Saari serta ketua pasukan Kaironnisam Sahabudin, Felda United mampu menjelmakan persembahan menarik sepanjang musim 2013 nanti”.
Menyentuh mengenai kudrat tenaga import yang bakal digunakan, Devan berkata setakat ini Felda United telah berjaya mengikat seorang pemain dari Ghana untuk menambahkan kekuatan pasukan.
“Satu lagi kuota masih lagi belum diputuskan sama ada kita ambil seorang pemain dari Brazil ataupun Mohamad Ghaddar yang pernah beraksi bersama Kelantan sebelum ini. Ini semua akan diputuskan pengurusan pasukan tidak lama lagi”, katanya.
Devan dan anak-anak buahnya akan berangkat ke Thailand Ahad ini untuk persiapan Liga Super dimana mereka akan mengadakan 3 perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Premier Thailand termasuk naib juara 2012, Chonburi FC.
Sebagai rekod, Felda United menamatkan kempen Liga Super 2012 ditangga ke-10 dan suku akhir dalam saingan Piala Malaysia selain terkandas dipusingan awal dalam saingan Piala FA.