wpid-dunia-sukan-image-for-website-story17-300x200.jpeg

Pembinaan stadium milik Felda di Jengka, Pahang dijangka bermula awal bulan depan dan siap dalam tempoh dua tahun, kata Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau berkata kontraktor untuk pembinaan stadium itu dilantik minggu lepas. Stadium baharu ini dianggar menelan belanja sekurang-kurangnya RM80 juta dan
boleh menampung 30,000 penonton, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd Isa, pembinaan stadium itu adalah fasa pertama dalam pembinaan
kompleks sukan bersepadu yang meliputi pembinaan beberapa kemudahan sukan lain.

“Bagaimanpun ini bergantung kepada pemaju kita yang juga mempunyai tanah.
Ini mengikut perbincangan kita untuk fasa kedua. Fasa pertama dikhususkan untuk
pembinaan stadium baharu ini,” katanya.

Mengulas isu berkaitan, Mohd Isa berkata Felda merancang untuk mewujudkan
tiga lagi akademi bola sepak iaitu di Gua Musang, Kelantan; Alor Setar, Kedah
dan satu lagi di selatan tanah air.

Setakat ini Felda memiliki sebuah akademi bola sepak di Kuantan, Pahang,
katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan sijil dan anugerah kepada 50 anak Felda yang
menjalani latihan bola sepak di Akademi Bola Sepak Cardiff City di Wales, United
Kingdom dari 11 Nov hingga 5 Dis lepas.

Program itu diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
ketika melancarkan Liga Bola Sepak 1Malaysia- Cardiff City (Liga 1MCC) di
ibu negara April lepas.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi 1Malaysia Cardiff City Football Academy Sdn Bhd Datuk Chan Tien Ghee. – BERNAMA