Connect with:




Roger Federer tewas mengejut kepada pemain Argentina, Juan Martin Del Potro 6-4, 6-7 (8/10), 7-6 (7/2) awal pagi tadi dan menyaksikan Del Potro menjulang gelaran Indian Wells pertama dan ATP kedua berturut-turut.

Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat itu memberikan kekalahan pertama Federer untuk musim 2018 dan melebarkan catatan kemenangannya kepada 11 perlawanan termasuk ketika menjuarai gelaran awal bulan ini di Acapulco.

“Saya masih menggigil,” kata Del Potro.

“Sukar untuk dibayangkan, ia bagaikan mimpi.”

Pemain Argentina berusia 29 tahun itu yang bergelut dengan masalah kecederaan pergelangan tangannya berjaya mengatasi tiga mata perlawanan sebelum meraih kemenangan pada aksi pematah seri untuk menamatkan aksi selama dua jam 42 minit.

Del Potro mula bertanding di Indian Wells sejak 2013, apabila tewas kepada pemain Sepanyol Rafael Nadal.

Ini merupakan kemenangan ketujuh Del Potro ke atas Federer sepanjang 25 pertemuan mereka.

“Saya sentiasa bermain dengan baik ketika berdepannya. Saya menang beberapa perlawanan akhir dan tewas beberapa perlawanan akhir. Akhirnya saya bernasib baik kerana menang. Kami bermain dengan baik,” kata Del Potro. – AFP

Foto Kredit :