Ahmad Fazrul Sham meraih kemenangan dalam saingan kategori CP130 untuk musim 2012 pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Muar, Johor, hari ini.

Pelumba Faito Motobert Racing itu menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 10 minit 25.313 saat mengatasi Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing ) dan Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) di kedudukan kedua dan ketiga. Azlan menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 10:26.203s manakala Zamri dengan 10:26.520s.

Bukan sekadar kemenangan peribadi pertama untuk musim 2012, malah ia Fazrul turut menghadiahkan gelaran juara yang pertama kepada pengurus pasukan, Rosnizam Mohd Noor sejak pasukan ini mula berkecimpung dalam arena Cub Prix pada musim 2011.

Cukup gembira dengan kemenangannya, Fazrul berkata, “Perlumbaan hari ini agak sengit terutama tentangan daripada Azlan dan Zamri pada peringkat awal perlumbaan. Namun pasukan saya telah menyediakan jentera yang cukup bagus kepada saya yang banyak membantu kepada kejayaan hari ini dan membolehkan saya terus menjarakkan diri daripada kedua-dua pelumba itu. Saya begitu berterima kasih kepada seluruh pasukan dan juga seluruh ahli keluarga dan penyokong-penyokong yang banyak membantu dan mendoakan kejayaan kami di sini,” jelas pelumba berusia 27 tahun.

Mengulas lanjut, Fazrul berkata, “Selain gelaran peribadi, kemenangan ini juga turut mencerahkan peluang pasukan kami untuk menggondol Anugerah Berpasukan Keseluruhan. Gandingan saya bersama Ahmad Fuad Baharudin cukup konsisten pada musim ini, di tambah dengan pengalaman yang ada pada Fuad, saya yakin kami mampu untuk bersaing merebut gelaran berpasukan,” kata Fazrul  yang kini naik ke kedudukan kedua dalam senarai pelumba keseluruhan dengan mengumpul 82 mata.

Azlan kekal menerajui kedudukan dengan mengumpul 100 mata setakat ini manakala Mohd Zaqhwan Zaidi jatuh ke tangga ketiga, hanya dibezakan satu mata dengan Fazrul.

Dalam senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan,  pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 yang diwakili Azlan dan pelumba muda, Mohd Fitri Ashraf Razali berada di kedudukan teratas dengan mengumpul 156 mata, hanya dua mata dibezakan dengan Faito Motobert Racing yang berada di kedudukan kedua.  Kedudukan ketiga menjadi milik Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 (Norizman Ismail/Mohd Affendi Rosli) dengan 114 mata.

Sementara itu, Shahril Izzuwan Mohd Noor mencerahkan peluang untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan CP115 musim lepas apabila meraih kemenangan keduanya pada musim ini selepas kemenangan pertama pada Pusingan 2 di Terengganu.

Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 8:34.714s menewaskan Mohd Emir Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) di tempat kedua dengan 8:36.352s manakala Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing) ketiga, 8:36.521s.

Mengulas tentang kejayaannya, Shahril berkata, “Walaupun berada di petak kesembilan, saya bermula dengan agak baik sehingga berjaya menempatkan diri di barisan hadapan sebaik pelumba-pelumba dilepaskan. Selepas itu, beberapa pelumba dihadapan melakukan kesilapan dan saya menggunakan kesempatan untuk berada di hadapan sejak dari pusingan pertama lagi, Tambahan pula, pasukan turut menyediakan jentera yang begitu baik sekali,” jelas Shahril.

Kemenangan ini meletakkan Shahril sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 91 mata, tujuh mata mengatasi Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing) manakala Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) ketiga, 82 mata.

Dalam senarai berpasukan, PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM (Mohd Iskandar Raduan/Shahril) selesa mendahului kedudukan dengan 166 mata diekori M-Seki Liberty Honda Racing(Sasitharen Sukumaran/Emir) dengan 121 mata manakala Pachie Yuzy Honda Racing (Mohd Amirul/Mohd Rozaliman Zakaria) ketiga, 94 mata.

Dalam kategori Wira, Mohd Hafiz Nor Azman meraih kejuaraan keduanya pada musim  ini setelah menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa keseluruhan 7:05.479s.

Pelumba Team Mos Track Pro Yamaha Racing itu berjaya mengenepikan pencabar utamanya, Fakhrusy Syakirin Rostam dari pasukan AAP Mazoil Armstrong Motorsports yang menamatkan perlumbaan di kedudkan kedua dengan 7:09.911s manakala Mohd Hafizuddin Azahar (Unisel-Gems) ketiga, 7:18.845s.

Gembira dengan kemenangannya, Hafiz berkata, “ Walaupun agak selesa di hadapan, namun ini bukan satu kemenangan mudah bagi saya apabila saya sedikit ketinggalan kepada Fakhrusy pada peringkat awal perlumbaan. Setelah beberapa ketika berada di belakangnya, saya berjaya mencari ruang untuk memintas dan kemudiannya berjaya mendahului sehingga ke garisan penamat,” jelas Hafiz yang semakin selesa berada di persada carta keseluruhan dengan mengumpul 119 mata.

Keputusan hari ini membantu Fakhrusy terus kekal di tangga kedua dengan mengumpul 108 mata manakala Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang) di kedudukan ketiga dengan 62 mata.


Keputusan
CP130
Perlumbaan
1. Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 10’25.313s 2. Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 10’26.203s 3. Mohd Zamri Baba (Yamaha) 10’26.520s 4. Mohd Affendi Rosli (Honda) 10’29.622s 5. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 10’34.855s

Kedudukan Keseluruhan
1. Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 100 points 2. Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 82 points 3. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 81 points 4. Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 72 points 5. Norizman Ismail (Honda) 61 points

Anugerah Berpasukan
1. Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 (Azlan Shah Kamaruzaman/ Mohd Fitri Ashraf Razali) 156 points 2. Faito Motobert Racing (Ahmad Fazrul Sham/ Ahmad Fuad Baharudin) 154 points 3. Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 (Norizman Ismail/ Mohd Affendi Rosli) 114 points 4. Pachie Yuzy Honda Racing (Mohd Zaqhwan Zaidi/ Wan Hadri Wan Mukhtar) 107 points 5. Yamaha Maju Motor Racing (Ahmad Fazli Sham/ Abdul Muhaimin Roslan) 69 points
 
CP115
Perlumbaan
1. Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 8’34.714s 2. Mohd Emir Firdaus Hasan (Honda) 8’36.352s 3. Ahmad Afif Amran (Yamaha) 8’36.521s 4. Mohd Adib Rosley (Yamaha) 8’36.688s 5. Zaidy Mohd Zaifaizal (Yamaha) 8’36.971s

Kedudukan Keseluruhan
1. Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 91 points 2. Ahmad Abdul Kadir (Yamaha) 84 points 3. Mohd Amirul Ariff Musa (Honda) 82 points 4. Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 78 points 5. Mohd Emir Firdaus Hasan (Honda) 71 points

Anugerah Berpasukan
1. PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM (Iskandar Raduan/ Shahril Izzuwan) 166 points 2. M-Seki Liberty Honda Racing (Emir Firdaus Hasan/ Sasitharen Sukumaran) 121 points 3. Pachie Yuzy Honda Racing (Mohd Amirul Ariff Musa) 94 points 4. Apido Yamaha Boon Kui Racing (Ahmad Abdul Kadir/ Zulzaki Kipli) 88 points 5. CKJ Yamaha Racing (Ahmad Afif Amran/ Sharifuddin Shamsuddin) 81 points

WIRA
Perlumbaan
1. Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 7’05.479s 2. Fakhrusy Syakirin Rostam (Honda) 7’09.911s 3. Mohd Hafizuddin Azahar (Yamaha) 7’18.845s 4. Che Ku Amriq Asyraff (Yamaha)7’19.103s 5. Mohd Nasri Ishak (Yamaha) 7’19.791s

Kedudukan Keseluruhan
1. Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 119 points 2. Fakhrusy Syakirin Rostam (Honda) 108 points 3. Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 62 points 4. Mohd Izzat Zaidi Salehan (Yamaha) 57 points 5. Mohd Hafiza Rofa (Honda) 49 points