Connect with:




Pemain sepak takraw negara, Farhan Adam dan gimnas negara, Amy Kwan Dict telah berjaya dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Selangor 2018, semalam.

Mereka berjaya membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM10,000 serta piala iringan yang disampaikan oleh Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2018 di sebuah hotel di sini.

Farham Adam, 29, merupakan salah satu anggota yang menamatkan kemarau 24 tahun Malaysia dalam merangkul pingat emas dalam acara sepak takraw pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Indonesia. Manakala Amy Kwan, 24, pula berjaya membawa pulang empat pingat pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Dalam majlis yang sama, atlet olahraga, Muhammad Ilham Suhaimi,18, dan perenang, Nessa Yip Yi Wen, 15, telah diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan Selangor dan masing-masing menerima trofi dan sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM5,000.

Muhammad Ilham merupakan pelajar prauniversiti Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTMI), berjaya menyumbang empat daripada 10 pingat emas Malaysia pada temasya Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN 2018 manakala Nessa pula meraih dua emas dan satu perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

Selepas majlis berkenaan, Farhan berkata beliau bangga kerana menjadi pemain sepak takrawa pertama yang menerima anugerah berkenaan sambil menyifatkan anugerah berkenaan merupak satu pengiktirafan kepada sukan sepak takraw.

“Anugerah ini akan menjadi pendorong kepada saya untuk menjadi seorang pemain yang lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Manakala Amy Kwan pula turut melahirkan perasaan gembira kerana berjaya bergelar Olahragawati Selangor 2019 sejak bergelar atlet negara.

“Sudah pasti ia akan menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk melakukan yang terbaik untuk Selangor dan Malaysia untuk masa hadapan,” katanya. –BERNAMA

 

Foto : MSN