Connect with:




Susulan insiden penyokong Myanmar yang mendakwa diserang oleh penyokong Malaysia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil memohon maaf meskipun tiada laporan polis dibuat.

Isu yang tular di laman sosial mengatakan kira-kira 30 penyokong Malaysia telah menyerang 20 penyokong Myanmar termasuk wanita selepas perlawanan Piala AFF yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sabtu lalu.

Menurut Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam, setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu seperti yang disahkan oleh Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.

Dalam pada itu, penyokong yang menjadi mangsa tersebut tidak mahu berjumpa dengan pihak FAM, sebaliknya menyerahkan kes ini kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Myanmar, Lovely Heart Organisation menerusi wakilnya Ko Thet untuk mengadakan pertemuan bersama Stuart bagi menjelaskan tentang isu berkenaan.

“Sebagai badan induk bola sepak yang megetuai semua kegiatan sukan ini, saya bagi pihak FAM memohon maaf secara rasmi kepada penyokong terbabit.

“Meskipun FAM peka dalam mengambil langkah keselamatan di persekitaran stadium tapi kami tidak mampu mengawal kejadian tidak diingini. Kami menggesa semua penyokong mengamalkan sikap kesukanan dan kesopanan tinggi, sebelum, ketika dan selepas menonton perlawanan,” kata Stuart dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan yang lain, anak buah Tan Cheng Hoe bakal melayan kunjungan Thailand pada aksi separuh masa pertama Sabtu iniselepas mereka berjaya menumpaskan Myanmar 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan A, Sabtu lepas.