logo-FAMPersatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidakpernah mengabaikan program  pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi sebaliknya ia komited dalam melahirkan lebih ramai bakat muda dalam sukan, kata Setiausaha Agungnya Datuk Azzuddin Ahmad.

Beliau berkata badan induk bola sepak kebangsaan itu mahu melahirkan lebih ramai bakat muda  menerusi pelbagai program yang dilaksanakan bersama pihak
kerajaan dan swasta.

 

Mengambil contoh program pembangunan bola sepak negara yang dipengerusikan
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim, beliau berkata program
itu sedang diperluas ke seluruh negara dan mendapat sambutan baik daripada ibu
bapa serta pelajar sekolah.

“Selain itu, terdapat beberapa badan korporat yang tampil bekerjasama dengan
kita dalam memastikan program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi
terus berjalan.

“Kami (FAM) bukannya duduk diam malah sentiasa mempergiat usaha mengadakan
pelbagai program demi kebaikan bola sepak negara,” katanya pada sidang media di
Wisma FAM di sini hari ini.

Selain program berkenaan, beliau berkata FAM turut bekerjasama dengan
1Malaysia Cardiff City (1MCC) menerusi kejohanan Liga 1MCC bagi melahirkan
lebih ramai pemain di peringkat bawah umur.

“Kita juga menghantar skuad bola sepak bawah 15 tahun kebangsaan untuk
bersaing dalam Piala Antarabangsa Frenz 2012 yang berakhir baru-baru ini,”
katanya.

Dalam pada itu, Azzuddin  membidas sikap segelintir pihak yang hanya tahu
mengkritik skuad kebangsaan tanpa merujuk terlebih dahulu kepada FAM.

“Anda tidak boleh melihat keberkesanan program pembangunan di peringkat akar
umbi dalam masa setahun dua kerana ia adalah program yang dikhaskan untuk pemain di bawah umur dan mengambil masa yang lama sebelum membuahkan hasil,” katanya.

Sementara itu, Azzuddin berkata keputusan FAM tidak menghantar pasukan
Harimau Muda A menyertai Liga Singapura musim ini bagi membolehkan jurulatih,
Ong Kim Swee mempunyai masa yang cukup untuk mempersiapkan pasukan dalam misi mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA di Myanmar, akhir tahun ini.

“(Sebaliknya) kita memutuskan untuk menghantar pasukan Harimau Muda B pada
saingan Liga Singapura untuk memberikan pendedahan yang lebih luas kepada
mereka,” katanya. – BERNAMA