Connect with:




Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan telah mempunyai beberapa nama pemain-pemain yang layak untuk program naturalisasi sebagai pemain tempatan.

Sebelum ini, keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM telah meluluskan mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi menerusi tiga peringkat mekanisme iaitu jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang bagi meningkatkan kualiti skuad kebangsaan.

Bagi peringkat jangka pendek, ia membabitkan pemain berdarah campuran sama ada (pemain) mereka sendiri dilahirkan di Malaysia, ibu atau bapanya dilahirkan di Malaysia atau datuk atau neneknya dilahirkan di Malaysia.

Proses jangka pertengahan melibatkan pemain asing baharu yang berusia 18 tahun ke atas dan telah bermain dalam Liga Malaysia untuk satu atau dua tahun serta menyakinkan pemain untuk menetap dengan minimum lima tahun.

Bagi peringkat jangka panjang pula membabitkan pemain asing berusia bawah 18 tahun termasuk mengambil kira jumlah pemain, lingkungan usia pemain, negara asal pemain dan lain-lain perkara berkaitan yang akan dicadangkan oleh panel teknikal yang akan ditubuhkan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan dalam laporan The Star mereka telah mempunyai nama pemain yang bakal disenaraikan sebagai pemain tempatan yang bakal genap lima tahun menetap di Malaysia dan akan memulakan perbincangan bersama pemain tersebut berkaitan proses itu.

Namun, beliau juga menegaskan bahawa kelab pemain tersebut juga perlu memainkan peranan dalam membantu pemain-pemain tersebut dalam menjayakan proses itu jika pemain tersebut menyatakan minat mereka untuk mewakili negara.

“Kami memerlukan kerjasama dari kelab pemain tersebut untuk membantu mereka. Guiherme De Paula, Liridon Krasniqi dan Lee Tuck perlu menyatakan hasrat mereka kepada kelab masing-masing.

“De Paula dan Liridon perlu menunggu beberapa bulan lagi untuk mereka layak memohon, manakala Lee Tuck perlu mendapatkan bantuan dari kelabnya, mereka perlu ada kerjasama.

“Jika proses ini berhasil ia juga akan memberikan kelebihan kepada kelab tersebut kerana mereka akan mendapatkan kembali slot pemain import selepas pemain tersebut dinatulisasikan,” jelasnya.

 

Pemain Perlu Mempunyai Jiwa Sebagai Pemain Malaysia

Pemain-pemain yang bakal dinaturalisasikan selepas ini perlu ikhlas dan mereka perlu mempunyai semangat serta jiwa sebagai pemain kebangsaan dan bukan hanya menggunakan kelebihan untuk mendapatkan pengalaman dalam penampilan bersama skuad kebangsaan.

Pemain-pemain tersebut harus memberikan khidmat sehabis baik dan sudah pasti kita tidak ingin mereka bermain untuk kepentingan peribadi.

Antara pemain yang telah dinaturalisasi hasil kerjasama baik pemain dan kelab adalah Junior Eldstal, Bredan Gan, Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh.

Selain itu, Timbalan Presiden FAM dan juga Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pemain Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan Melaka United, Liridon Krasniqi telah berada dalam radar mereka.

De Paula juga menjelaskan beliau sememangnya berniat dan berminat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan namun beliau menegaskan tiada menerima apa-apa berita lagi mengenainya.

“Saya sudah tahun kelima bermain di Malaysia dan saya berharap dapat bermain dengan skuad Malaysia tidak lama lagi,” ujarnya.

De Paula, 33, berasal dari Brazil memulakan kariernya di Malaysia bersama Selangor pada 2015 sebelum ke Cyprus bersama Ethnikos Achna FC pada musim 2015/16. Pada 2016 De Paula kembali ke Malaysia untuk bersama dengan PDRM, setelah tamat musim 2016, beliau berpindah untuk mewakili Kuala Lumpur bermula 2017 sehingga kini dan berjaya menjaringkan 55 gol bersama Kuala Lumpur. Malah De Paula juga pernah terpilih untuk mewakili Malaysia ketika pasukan Pilihan Malaysia menentang Tottenham Hotspur pada 2015.

Liridon, 27, yang memiliki kacukan Kosovo-Albania yang mengisi posisi pemain tengah memulakan kariernya di Malaysia bersama Kedah sejak 2015 sehingga 2018 dan berjaya menjaringkan 19 gol dalam 67 penampilan dan kini Liridon bersama Melaka United. Beliau juga pernah mewakili negara Albania bawah 21 tahun serta Kosovo pada 2014-2015 dan sempat membuat tiga penampilan.

Walau bagaimanapun, segala butiran lanjut dan perkembangan terbaharu mengenai proses naturalisasi berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa untuk makluman seluruh peminat bola sepak negara.