Connect with:




Ramai netizen menyifatkan harga tiket RM35 sekeping bagi menyaksikan Kejohanan Empat Negara Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 20-23 Mac ini adalah mahal.

Sehubungan itu,  Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyangkal dakwaan berkenaan memandangkan pasukan yang menyertai Piala Airmarine berada pada ranking (dunia) lebih baik daripada skuad kebangsaan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan kadar berkenaan adalah melibatkan dua perlawanan iaitu aksi Oman dan Afghanistan pada 4.30 petang serta aksi Malaysia dan Singapura pada pukul 8.45 malam.

“Pertandingan ini dianjurkan pihak swasta (dengan kerjasama FAM), jadi harga tiket ditentukan pihak Airmarine (Malaysia) Sdn Bhd dan Pro Events International Sdn Bhd yang telah mencapai persetujuan mengenakan harga tiket sedemikian.

“Bagi saya, harga yang dikenakan berbaloi,” katanya.

Sebelum ini, ramai netizen di laman sosial yang mempersoalkan harga tiket RM35 bagi tempat duduk terbuka adalah lebih mahal, jika dibandingkan harga perlawanan persahabatan melibatkan skuad kebangsaan yang berharga RM20 sekeping.

Sementara itu, pemain naturalisasi Malaysia, Mohamadou Sumareh ingin mengakhiri kemarau golnya apabila betemu Singapura di separuh akhir Piala Airmarine, 20 Mac ini.

Sumareh meluahkan rasa bangga dan teruja kerana sekali lagi dipanggil Ketua Jurulatih Negara, Tan Cheng Hoe selepas terlibat dalam Piala AFF Suzuki 2018 yang mana Malaysia inobatkan sebagai naib juara setelah tewas kepada Vietnam di perlawanan akhir.

“Sudah agak lama saya tidak menjaringkan gol untuk Malaysia, dan sudah tentu saya mahu menjaringkan gol jika saya diberikan peluang untuk bermain,” kata Sumareh.

-BERNAMA