Mengikut perancangan awal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), skuad kebangsaan dijadualkan menjalani latihan dan tiga aksi persahabatan di luar negara bermula pada penghujung Julai sehingga pertengahan Ogos nanti dalam persiapan untuk menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 hujung tahun ini.

Australia atau China dijangkakan bakal menjadi destinasi latihan selama tiga minggu itu dan perkara ini disahkan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Subahan Kamal ketika sidang media jadual dan aktiviti skuad kebangsaan semalam.

Namun, FAM masih belum dapat mengesahkannya secara rasmi kerana ianya masih di dalam perancangan awal.

Ini adalah salah satu alternatif sekiranya skuad kebangsaan gagal mendapat aksi persahabatan kelas A yang telah dirancang antaranya menentang India, New Zealand, Qatar mahupun UAE. Selain itu, pilihan akhir sekiranya semua tidak berjalan seperti yang dirancang adalah menentang pasukan negeri dan kelab yang beraksi dalam Liga Malaysia.

Latihan sebegini pernah dirancang penghujung Ogos 2010 iaitu ketika skuad kebangsaan dalam fasa persiapan menghadapi kejohanan Sukan Asia Guangzhao 2010 di China namun akhirnya dibatalkan dan digantikan dengan dua perlawanan persahabatan menentang kelab dari Qatar, Al-Jaish dan juga Oman di Doha, Qatar.

Sebelum itu, latihan pusat luar negara di Antalya, Turki pada Jun 2010 menyaksikan tiga perlawanan persahabatan dijalankan iaitu menentang Pilihan Antalya (menang 3-1), Pilihan Turki (menang 1-0) dan juga kelab Antalyaspor (menang 1-0).

Sementara itu, jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mempertahankan kaedah yang digunakannya ketika ini dengan memberi peluang kepada pemain muda dan muka-muka baru. Menurutnya, sekiranya pemain tersebut tidak dicuba sekarang, bila lagi mereka akan mendapat peluang untuk menyarung jersi kebangsaan.

“Inilah resepi yang membawa kejayaan kepada skuad kebangsaan seterusnya memberi nafas baru kepada seluruh rakyat negara ini terutamanya peminat bolasepak tempatan,” ujarnya lagi yang mengambil semua kritikan terhadapnya sebagai sesuatu yang positif dan cabaran.