Bekas pemain Harimau Muda, Haziq Zikri Elias telah melanjutkan pelajaran ke United Kingdom ketika pasukannya, Selangor sedang bergelut di dalam saingan Piala Malaysia.

Perkembangan terbaru ini sedikit sebanyak telah menjawab persoalan yang berlegar di minda peminat yang tertanya-tanya status Haziq Zikri sebagai pemain Selangor. Penampilan terakhir bersama pasukan Selangor ialah ketika menentang pasukan PDRM dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia yang berakhir dengan keputusan berpihak kepada Selangor, 2-o. Haziq Zikri telah berlepas ke United Kingdom pada 19 September yang lepas.

Penghantaran Haziq Zikri ke sana dapat dilaksanakan hasil daripada perjanjian yang dilakukan di antara Majlis Sukan Negara(MSN) dan University of West England(UWE).

“Perjanjian di antara MSN dan UWE telah membenarkan saya untuk melanjutkan pelajaran di sini di peringkat ijazah sarjana muda.
Saya merupakan pemain pertama yang dihantar ke sini dan sekiranya perkara ini membuahkan hasil, akan ada lebih ramai lagi pemain
yang akan dihantar ke sini. Sebagai contoh, 2 pemain bola sepak yang berumur 16-18 tahun akan dihantar ke sini pada tahun depan
untuk melanjutkan pelajaran di peringkat A-Levels”, ujar beliau.

“Perkara ini memberi peluang kepada pemain muda untuk bermain bola sepak sambil belajar di sini. Jika bakat mereka dikesan oleh pencari bakat di sini, mereka mungkin boleh sambung kerjaya bola sepak di sini. Mereka juga mempunyai pilihan untuk pulang ke tanah air untuk bermain bolasepak mahupun bekerja untuk pihak penggiat sukan di Malaysia.”

Haziq juga turut menambah,”Mengenai penglibatan Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM), mereka bersetuju untuk menaja saya ke sini kerana
saya masih mempunyai kontrak bersama mereka sehingga hujung tahun ini. Oleh itu, pihak FAM bersetuju untuk menaja saya ke sini dan untuk pemain-pemain yang seterusnya akan hanya dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara dan pihak universiti.”

Haziq Zikri, 20, turut memberitahu bahawa fokus beliau kini hanya tertumpu untuk mendapat segulung ijazah sambil bermain bolasepak di sana. Setelah selesai pengajiannya di sana, beliau akan akan pulang ke tanah air untuk mengikuti perancangan yang telah ditetapkan oleh MSN, mahupun FAM untuknya kelak.

“Fokus saya kini untuk habiskan pengajian saya di sini. Jika saya bermain dengan baik untuk pasukan universiti, saya mungkin juga akan mendapat elaun daripada MSN, bermula daripada tahun depan. Semuanya bergantung kepada laporan daripada pihak universiti. Ketika saya tamat pengajian kelak, saya akan berumur 23 tahun, dan selepas itu saya akan pulang ke tanah air. Saya tidak pasti sama ada terus bermain bola sepak ataupun bekerja untuk MSN mahupun FAM. Mungkin juga saya boleh sumbang sesuatu untuk pembangunan sukan di Malaysia, bukan sahaja mengenai bola sepak.”

Ketika pemuda kelahiran Kuala Lumpur ini diminta mengulas lebih lanjut apakah maksud yang cuba disampaikannya, beliau bingkas menjawab; “Mungkin saya akan teruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak, dan mungkin tidak. Sekiranya dipanggil untuk mewakili pasukan negara, saya tidak akan menolak tawaran tersebut. Tetapi sekiranya untuk pasukan negeri, saya belum pasti. Kita lihat sahajalah apa pandangan saya selepas saya tamat pengajian kelak.”

Beliau dipanggil pulang ke tanah air sebelum ini setelah selesai menyarung jersi pasukan remaja Stevenage F.C di England, dan semenjak itu beliau beraksi untuk pasukan Harimau Muda. Selepas itu, beliau dipinjamkan ke pasukan Selangor untuk saingan Piala Malaysia sebelum
melanjutkan pelajaran ke Hartpury College, University of West England dalam bidang pengurusan perniagaan sukan peringkat ijazah sarjana
muda.

Haziq Zikri juga diminta mengulas sama ada pihak pengurusan Selangor sedar akan perkara ini ketika memutuskan untuk meminjam beliau
daripada pasukan Harimau Muda. Kata beliau, “Mengikut perancangan asal, pengajian saya sepatutnya bermula selepas saingan Piala Malaysia dan mereka tidak tahu akan perkara ini. Akan tetapi, pengajian saya terpaksa diawalkan kerana pihak universiti tidak memberi pelepasan khas kepada saya kerana saya telah terlepas latihan pra-musim dan minggu orientasi di sana. Oleh itu, MSN terpaksa menempah tiket untuk pergi ke United Kingdom dengan lebih awal.

Namun, pihak pengurusan Selangor sangat memahami akan keadaan ini dan tenang menyelesaikannya terutamanya K. Devan(Ketua Jurulatih pasukan Selangor ketika itu) yang faham akan kuasa mutlak terletak di tangan FAM dan MSN. Saya sangat hargai budi bicara beliau.”

Haziq Zikri kini berada di Hartpury College, United Kingdom manakala pasukan Selangor sedang mempersiapkan diri untuk beraksi pada
perlawanan Separuh Akhir kedua menentang pasukan Terengganu, setelah tewas pada perlawanan timbal balik pertama 0-2 di Stadium Shah Alam, Selangor.