Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memohon maaf kepada pasukan Chelsea susulan aduan kelab berkenaan di atas insiden anti semitik terhadap pemain mereka yang berasal dari Israel, Yossi Benayoun.

Benayoun sentiasa mendapat ejekan dari segelintir penonton apabila mendapat bola dalam aksi persahabatan menentang Malaysia XI baru-baru ini.

“Persatuan Bolasepak Malaysia telah menerima aduan daripada Kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC mengenai serangan anti semitik yang disasarkan kepada pemain tengah Israel, Yossi Benayoun semasa perlawanan persahabatan dengan Malaysia XI di Kuala Lumpur pada 21 Julai 2011,” dalam kenyataan yang diemelkan kepada media.

“Dalam pemerhatian awal semasa kejadian, ia melibatkan sebahagian kecil penonton sahaja dan ini tidak menunjukkan perasaan keseluruhan majoriti penonton di dalam negara yang cintakan bolasepak.

“FAM dengan tegas tidak membenarkan sebarang rasis dalam bolasepak. Di atas insiden yang berlaku, kami memohon maaf kepada pemain terlibat dan juga Chelsea FC.”