Connect with:




Penolong Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan, Brad Maloney telah dilantik sebagai ketua jurulatih sementara skuad B-19 kebangsaan, jawatan yang baru-baru ini dikosongkan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak bekas ketua jurulatih B-19, Bojan Hodak.
Jurulatih dari Australia ini akan memulakan tugas beliau pada 1 Julai 2019 hingga akhir tahun ini dan ujian pertamanya sebagai ketua jurulatih adalah membimbing skuad B-18 kebangsaan ke Kejuaraan B-18 AFF 2019 di Vietnam dari 5 hingga 18 Ogos 2019.
Brad juga akan menerajui pasukan untuk kempen kelayakan skuad B-19 kebangsaan bagi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Kemboja dari 2 hingga 10 November 2019.
Walaupun mengetuai skuad B-19 kebangsaan, Brad tetap kekal sebagai penolong ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee – peranannya yang penting kerana dia adalah sebahagian daripada skuad B-23 kebangsaan yang mengakhiri saingan pada Pusingan 16 dalam Sukan Asia 2018 & Kejuaraan B-23 AFC 2018 dan meraih tempat kedua pada Sukan SEA 2017.
Langkah untuk melantik Brad sebagai ketua jurulatih pasukan B-19 kebangsaan turut disokong oleh Datuk Ong kerana ia memperkuatkan kedudukan Brad sebagai penolong ketua jurulatih pasukan B-23 kebangsaan.
“Brad sudah bersama kami sejak tahun 2014 dan dia sudah biasa dengan cara bola sepak di Malaysia yang membuatnya menjadi calon yang ideal untuk memimpin skuad B-19. Kami ingin menggalakkan hubungan kerja yang rapat dan harmoni antara ketua-ketua jurulatih dalam semua kategori umur dan saya yakin pelantikan Brad juga akan memperkuatkan lagi kami dalam hal ini,” kata Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo.
“Dia telah membuktikan dirinya sebagai penolong ketua jurulatih yang berwibawa dan kini tiba masanya untuk dia memimpin pasukan B-19 kebangsaan. Dia tidak sabar untuk memulakan tugasnya dan ia merupakan tanda yang positif,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengenai pelantikan Brad.
Untuk rekod, skuad B-19 kebangsaan bergelar juara Kejuaraan B-19 AFF tahun lepas dan berjaya layak ke Kejuaraan B-19 AFC 2018, di mana mereka gagal melepasi peringkat kumpulan.