Connect with:




Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat beberapa langkah bagi memastikan kelangsungan bola sepak di negara ini yang merangkumi saingan Liga Malaysia, pasukan atau kelab, pemain-pemain serta pegawai yang terlibat supaya tidak terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

FAM telah menetapkan sehingga jam 11.59 malam pada Rabu, 22 April 2020 untuk semua pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia 2020 menghantar status perbincangan bersama di antara pasukan atau kelab dengan pemain dan pegawai serta laporan status kewangan pasukan atau kelab masing-masing kepada Sekretariat Agung FAM.

Justeru, Sekretariat Agung FAM sedang meneliti dan menganalisis semua laporan dan dokumentasi tersebut dan turut berkomunikasi dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada mereka sebelum membuat satu keputusan selanjutnya.

Presiden FAM merangkap Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan telah mengadakan satu mesyuarat khas dengan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican di pejabatnya di Putrajaya, petang semalam bagi memberi penerangan berhubung perancangan FAM dan MFL bagi kelangsungan bola sepak Malaysia selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM telah pun menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan nasihat, pandangan dan kelulusan untuk mengunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan dipatuhi bagi membolehkan FAM dan badan pengendali Liga Malaysia, MFL menyambung serta meneruskan baki saingan Liga Malaysia 2020 yang ditangguhkan sejak 16 Mac 2020.

Apa juga arahan atau sekatan daripada KKM atau MKN, FAM terbuka sepenuhnya untuk menerimanya dan akan mematuhi segala arahan yang diberikan nanti walaupun ia membawa kepada pembatalan semua aktiviti bola sepak.