Vuvuzela akan diharamkan mulai suku akhir Piala Malaysia

 

FAM akan mengharamkan penggunaaan vuvuzela di stadium berkuatkuasa pada saingan suku akhir Piala Malaysia tahun ini. Menurut Naib Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin, FAM mengambil keputusan tersebut setelah mendapat aduan dan maklum balas yang kurang menyenangkan dari pengurusan pasukan dan orang ramai.

“Kita dapat aduan dari sesetengah pasukan bahawa bunyi vuvuzela dan airhorn ini terlalu bising hingga mengganggu jurulatih memberikan arahan. Namun, kita masih dalam peringkat awal pelaksanaan. Matlamat awal kita adalah untuk mengurangkan bunyi bising ini sebelum kita akan perhalusi tindakan seterusnya” tambah Dato Hamidin yang ditemui ketika majlis penyerahan tajaan TM kepada skuad Harimau Muda negara.

Hamidin jelaskan FAM akan kaji semula penyertaan pasukan dalam Piala Malaysia 2013

 

Dato Hamidin turut mengulas mengenai jumlah pasukan yang akan mengambil bahagian dalam Piala Malaysia tahun depan akan dikaji semula.

Sebelum ini, FAM menetapkan 24 pasukan untuk mengambil bahagian namun perkara tersebut akan dikaji semula selepas menerima maklum balas dari pengurusan setiap pasukan dalam liga Malaysia.

Dalam perkembangan lain, FAM menerima penarikan diri MP Muar dari Liga Perdana 2013. Sehubungan itu, satu perlawanan play-off akan diadakan pada 6 Oktober ini diantara Shahzan Muda dan NS Betaria untuk menentukan pasukan yang akan ke Liga Perdana.