Connect with:




Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menghantar cadangan kepada Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) berhubung format kelayakan kejohanan di bawah selian badan induk bola sepak Asia itu.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam selain Malaysia terdapat beberapa lagi ahli gabungan AFC juga menerima nasib sama kesan daripada format pertandingan kelayakan di bawah selian AFC termasuk kempen kelayakan AFC Bawah 23 tahun (B-23) 2020 yang lalu.

“Setiap ahli gabungan AFC mempunyai saluran yang betul boleh digunakan untuk menyampaikan cadangan. Kami akan menghantar surat cadangan kepada Jawatankuasa Pertandingan AFC selepas mengenal pasti cadangan tersebut sebelum dihantar kepada AFC,” jelasnya.

Ketika kempen kelayakan AFC B-23, skuad negara terpaksa akur apabila gagal layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 2020 di Bangkok, Thailand selepas sekadar berada di kedudukan kedua Kumpulan J di belakang China yang diadakan di Stadium Shah Alam, baru-baru ini.

Mengikut format AFC, hanya 11 juara kumpulan serta empat pasukan kedua terbaik akan layak ke pusingan akhir. Malangnya Malaysia mengakhiri pusingan kelayakan selaku pasukan kedua terbaik di tangga kelima.

Ditambah pula, tindakan Pakistan menarik diri di saat akhir nyata memberi kesan buruk kepada peluang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika mereka sepatutnya muncul sebagai empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan di belakang Australia, Iran dan Arab Saudi.

Kegagalan ini sekali gus menyaksikan skuad negara gagal mencapai sasaran dalam F: 30 memandangkan kejohanan kelayakan AFC itu turut dikira sebagai medan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. – BERNAMA

Foto : FAM