Datuk Hamidin Mohd Amin

Datuk Hamidin Mohd Amin

 

FAM berjaya mengurangkan jumlah tunggakan KWSP, Perkeso dan LHDN untuk pasukan-pasukan bertanding dalam Liga Malaysia ini sebanyak 10 kali ganda dengan jumlah tunggakan setakat ini hanyalah bernilai sekitar RM 1.2 juta.

Angka ini jelas satu penurunan yang mendadak berbanding 3 tahun lalu dimana jumlah tunggakan mencecah hampir RM 12 juta.

Pengerusi Jwatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Dato Hamidin Mohd Amin berkata, kejayaan ini adalah hasil kerjasama antara FAM, pihak berkuasa tempatan dan persatuan bolasepak negeri yang berusaha untuk menyelesaikan masalah yang kerap berulang ketika musim baru liga mahu bermula.

“Setakat ini, jumlah tunggakan KWSP hanya tinggal RM 833,793. Tunggakan Perkeso pula bernilai RM 101,526 manakala tunggakan cukai pendapatan bernilai RM 365, 895. Keseluruhannya, jumlah tunggakan berjaya dikurangkan sehingga dalam lingkungan RM 1.2 juta” kata Hamidin selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT di Wisma FAM.

Hamidin juga berharap agar usaha usaha positif ini dapat diterukan supaya masalah tunggakan ini tidak lagi terjadi pada masa hadapan.

Dalam perkembangan berlainan, seramai 34 pemain import telah didaftarkan pasukan-pasukan bertanding dalam Liga Malaysia musim 2013 ini. Beberapa pasukan bagaimanapun tidak menggunakan tenaga import sementara hanya Polis dan Felda menggunakan 1 sahaja pemain import.

“Mohamad Ghaddar yang sebelum ini dikaitkan dengan Felda United menarik diri disaat-saat akhir. Ini bermakna Felda hanya mempunyai seorang sahaja pemain import untuk saingan liga tempatan” tambah Hamidin.

Selangor dan Kelantan pula mempunyai tempoh hingga 26 Januari ini untuk memenuhkan lagi kuota 2 pemain import yang dibenarkan untuk kempen Piala AFC.