Fakhrusy Syakirin Rostam berharap perubahan teknikal yang dilakukan dalam saingan CP150 akan menjadikan perlumbaan lebih seimbang diantara jentera Honda dan Yamaha pada saingan Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di MAEPS, Serdang, 15 dan 16 Julai ini.

Pelumba SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing itu akui setakat empat pusingan lepas, jentera Honda mereka gagal untuk memberikan saingan kepada jentera Yamaha yang sentiasa mendominasi pentas podium dalam perlumbaan akhir.

Mohd Zaqhwan Zaidi muncul pelumba tunggal yang meraih podium buat pasukan yang menggunakan jentera Honda dengan menduduki tempat ketiga pada pusingan pembukaan di Temerloh manakala pencapaian terbaik Fakhrusy di tempat kelima pada pusingan lepas di Teluk Intan.

“Kami masih bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan yang terbaik. Memang diakui ketika ini jentera kami agak ketinggalan berbanding jentera lain.

“Apa yang kami lakukan ketika ini bagi menutup kelemahan ini adalah dengan meningkatkan keupayaan fizikal dan teknik berlumba untuk memberikan lebih cabaran,” jelas Fakhrusy.

Tambahnya, “Perubahan teknikal yang diputuskan baharu ini juga belum teruji sama ada kami mampu untuk mengurangkan jurang perbezaan jentera, namun saya berharap ia akan dapat menjadikan perlumbaan musim ini lebih seimbang. Kita lihat bagaimana keadaan di Maeps nanti,” jelas Fakhrusy.

Selepas empat pusingan, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) sedang mendahului kedudukan dengan 51 mata diikuti Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) kedua dengan 50 mata. Fakhrusy di tangga ke-10 dengan 19 mata.