Senarai 28 pemain Harimau Muda A yang akan menggalas tugas di Liga Singapura 2012 sudah diketahui umum. Majoriti pemain adalah yang sudah biasa dilihat beraksi bersama skuad kendalian Ong Kim Swee ini antaranya Izham Tarmizi Roslan, Mohd Fadhli Shas, Irfan Fazail, Wan Zack Haikal Wan Nor, Syahrul Azwari Ibrahim dan beberapa pemain regular lain lagi.

Mahali Jasuli, 22, adalah antara pemain senior dan berpengalaman serta kerap kali tersenarai samaada untuk skuad bawah 23 ataupun kebangsaan. Ketika beberapa rakan lain memilih untuk pulang menabur bakti di negeri masing-masing, Mahali kekal setia bersama skuad ini dan akan bersama beraksi di Liga Singapura 2012.

Mahali berharap semua pemain memanfaatkan sepenuhnya peluang yang telah diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk beraksi dalam Liga Singapura nanti. Dia menganggap peluang ini sebagai satu pendedahan dan pengalaman baru buat pasukan.

Bagi Mohd Fadhli Shas pula, kehilangan pasangannya di pertahanan tengah iaitu Muslim Ahmad sama sekali tidak menggusarkannya. Muslim telah memilih beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya, Terengganu untuk musim depan.

Amer Saidin dilihat berpotensi menggantikan tempat Muslim setelah gandingan ini diletakkan ketika aksi kelayakkan Olimpik menentang Syria tempohari. Menurut Fadhli Shas, dia dan Amer sudah lama beraksi bersama dari dalam Harimau Muda B iaitu selama dua tahun.

“Saya juga serasi dengan Amer sebagaimana saya dengan Muslim kerana tahu kekuatan dan kelemahan permainannya, jadi ketiadaan Muslim bukanlah satu persoalan besar,” ulasnya lagi mengenai bakal pasangannya, Amer Saidin.

Selain itu, turut tersenarai adalah dua pemain yang dibawa dari pasukan negeri iaitu penjaga gol muda Terengganu, Mohd Shahril Shaari dan penyerang muda dari Kuala Lumpur, Ahmad Hazwan Bakri. Ketika ramai pihak mempersoalkan bahagian penyerang Harimau Muda yang gagal berfungsi, mungkin Hazwan Bakri adalah penawarnya.

Berusia 20 tahun, Hazwan menjadi watak penting skuad Ong Kim Swee ini ketika Jelajah Australia tempohari dengan empat jaringannya dalam tiga aksi persahabatan di sana. Dia juga pernah bersama skuad ini di Slovakia dan telah menjaring dua gol disana.

Melengkapkan senarai adalah lima pemain dari skuad bawah 17 tahun negara (B17) dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) iaitu Mohd Firdaus Muhammad (penjaga gol), Mohd SyazwanTajuddin (pertahanan), Nur Areff Kamaruddin (tengah), Mohd Azizan Nordin (tengah), Muhammad Akmal Ishak (penyerang).

Harimau Muda akan bersaing dengan 13 pasukan lain antaranya juara Liga Singapura musim lepas, Tampines Rovers FC, Young Lions (Singapura B23) dan juga tiga kelab luar iaitu Albirex Niigata FC dari Jepun, DPMM FC dari Brunei dan Etoile FC dari Perancis.

Sasaran yang diletakkan oleh pengurusan pasukan dan jurulatih pasukan adalah menjadi antara lima kelompok teratas Liga Singapura 2012. Bagi pengurusan, ia adalah sasaran realistik berdasarkan prestasi terkini pasukan.

Selain itu, menurut pengurusan skuad Harimau Muda, sasaran tersebut bukanlah sebagai beban namun harus diterima pasukan untuk membuktikan penyertaan di sana berbaloi.

Difahamkan bahawa Stadium Yishun akan menjadi stadium angkat pasukan Harimau Muda tetapi Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) masih belum mengumumkannya secara rasmi.