Connect with:




Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini melancarkan Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM yang diberi nama F:30, dengan perencanaan menjadi lima negara terbaik Asia menjelang 2030.

Peta hala tuju dengan tempoh 12 tahun itu dibahagi kepada tiga pelan strategik, iaitu fasa pertama dari tahun 2019 hingga 2022 untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur, disusuli fasa kedua (2023-2026) mencapai peringkat Asia, disudahi fasa ketiga (2027-2030) bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.

F:30 dirasmikan secara bersama oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin, di Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Turut hadir Ahli Majlis FIFA, Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah, Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura dan Setiausaha Agung AFC, Dato’ Windsor John, serta ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan perwakilan dalam kalangan ahli gabungan badan induk itu.

“Peta Hala Tuju ini adalah agenda negara, agenda untuk semua, untuk saya, untuk FAM, untuk semua pemegang taruh dan penyokong, dan jika kita mahu merealisasikan visi ini, kita perlukan semua pihak untuk turut serta dalam mencapai objektif yang sama,” kata Dato’ Haji Hamidin.

Pada majlis pelancaran itu, pembentangan F:30 dilakukan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo, disaksikan lebih 200 anggota keluarga bola sepak tempatan terdiri daripada ahli gabungan FAM dan pengamal media.

Dato’ Haji Hamidin menyifatkan F:30 sebagai simbol kesungguhan FAM melaksanakan pelan pembangunan menyeluruh di setiap lapisan ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara bola sepak yang disegani.

“Tempoh 12 tahun adalah sasaran yang realistik mengambil kira ekosistem bola sepak tempatan ketika ini.

“Teras kepada peta hala tuju ini ialah memperkasakan ahli gabungan dari sudut pembangunan modal insan dan pertandingan, pengenalan DNA bola sepak Malaysia menerusi kurikulum kejurulatihan yang seragam, serta pembangunan akar umbi yang mantap.

“Dalam peta hala tuju ini juga, FAM bercadang mewujudkan sekelompok pengadil profesional bertujuan meningkatkan mutu pengadilan,” katanya.

Infantino yang hadir kali pertama ke Kuala Lumpur selaku Presiden FIFA, mengucapkan syabas kepada FAM atas pelancaran F:30.

“Tahniah khususnya kepada Dato’ Hamidin kerana melancarkan pelan hala tuju FAM hanya tiga bulan selepas menjadi Presiden FAM. FIFA sentiasa menyokong dan mengalu-alukan ahli gabungan yang menunjukkan kesungguhan membangunkan bola sepak di setiap peringkat.

“Pelan ini juga sejajar dengan Program FIFA Forward yang kami kemas kinikan baru-baru ini bertujuan memperkasakan negara anggota FIFA,” kata Infantino.

Shaikh Salman pula menganggap F:30 sebagai kerangka asas yang mampu membina ekosistem yang menggalakkan pertumbuhan bola sepak Malaysia.

“Bagi pihak AFC, kami mendoakan agar Malaysia mendapat hasil daripada pelaburan ini,” katanya.