Connect with:




Menjelang perlumbaan kelima di Grand Prix Sepanyol di Litar Barcelona-Catalunya, persaingan antara rakan sepasukan daripada jentera Mercedes iaitu Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas menjadi tumpuan selepas kedua-dua mereka mencatatkan dua kemenangan daripada empat perlumbaan yang telah dilalui.

Dalam empat perlumbaan sebelum ini, Hamilton dan Bottas sering bertukar-tukar posisi dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan yang lain. Namun, apa yang menariknya, mereka hanya bertukar posisi sebagai juara dan naib juara sahaja.

Hamilton telah memenangi dua perlumbaan di Grand Prix Bahrain dan China, manakala Bottas berjaya memenangi perlumbaan di Grand Prix Australia dan Azerbaijan.

Kini, juara dunia lima kali, Hamilton mengumpul 86 mata berada satu mata di belakang Bottas yang memiliki satu mata tambahan selepas mencatat masa terbaik untuk pusingan di Grand Prix Australia.

Pasukan Mercedes juga kini meninggalkan jauh pesaing utama iaitu Pasukan Ferrari dengan perbezaan 74 mata setelah Hamilton dan Bottas berjaya mengutip 173 mata.

Perlumbaan di Grand Prix Sepanyol pada 12 Mei ini pastinya akan terarah kepada dua pelumba iniĀ  selain dua pelumba Ferrari, Sebastian Vettel dan Charles Leclerc serta pelumba Red Bull Racing Honda, Max Verstappen.

Selepas tamat empat perlumbaan, hanya lima orang perlumba ini sahaja yang berada dalam kedudukan lima terbaik. Pelumba-pelumba lain nampaknya seperti tidak mampu memberi cabaran untuk bersaing sekurang-kurangnya menaiki podium atau berada di kelompok lima terbaik.

Nampaknya, penguasaan penuh daripada Pasukan Mercedes bakal diteruskan tahun ini dengan memiliki pemandu yang berpotensi untuk menjadi juara dunia.

Foto : Sportskeeda