Connect with:




Kehangatan persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris semakin sengit antara Liverpool dan Manchester City, namun tidak kurang menariknya perebutan slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan antara empat pasukan iaitu Tottenham Hotspur, Chelsea, Arsenal dan Manchester United.

Empat pasukan ini kini sedang merebut dua slot sahaja lagi selepas Liverpool dan City telah mengesahkan tempat mereka di Liga Juara-Juara. Peluang masih terbuka kepada empat pasukan ini kerana perbezaan mata yang sangat rapat. Mari kita lihat dengan lebih terperinci tentang empat kelab ini.

 

Tottenham Hotspur

Jurulatih : Mauricio Pochettino

Ranking EPL : 3 (67 mata)

Baki Perlawanan : 4 – Brighton (H), West Ham (H), Bournemouth (A), Everton (H)

Peluang ke UCL : 75%

Selepas Harry Kane mengalami kecederaan dan dijangka tidak akan beraksi untuk baki perlawanan, Spurs kini bergantung kepada Son Heung-Min, Dele Alli, Christian Eriksen serta Hugo Lloris untuk beraksi cemerlang dalam setiap baki perlawanan liga. Spurs juga kini berada di landasan terbaik apabila berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini dan akan menentang Ajax. Tiga daripada empat baki perlawanan liga di laman sendiri mampu memberikan peluang untuk Spurs melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

 

Chelsea

Jurulatih : Maurizio Sarri

Ranking EPL : 4 (67 mata)

Baki Perlawanan : 3 – Man United (A), Watford (H), Leicester (A)

Peluang ke UCL : 55%

Chelsea gagal menggunakan peluang apabila gagal mengambil kesempatan atas kekalahan Spurs, Man United dan Arsenal kepada lawan masing-masing selepas sekadar seri dengan Burnley awal pai tadi. Kini peluang Chelsea ke Liga Juara-Juara dilihat semakin samar selepas telah mengharungi 35 perlawanan, lebih satu perlawanan daripada tiga pasukan lain. Chelsea juga bakal berhadapan dengan Man United selepas ini. Keputusan perlawanan itu akan memberi gambaran jelas tentang peluang Chelsea ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

 

Arsenal

Jurulatih : Unai Emery

Ranking EPL : 5 (66 mata)

Baki Perlawanan : 4 – Wolves (A), Leicester (A), Brighton (H), Burnley (A)

Peluang ke UCL : 65%

Peluang Arsenal dilihat cerah untuk mendapat slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan apabila mereka tidak akan bertemu pasukan di top 6, namun mereka terpaksa membaiki bahagian pertahanan yang dilihat agak lemah dan gagal melakukan clean sheet. Mereka kini bergantung kepada Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette untuk merobek gawang lawan. Arsenal juga kini berada di peringkat separuh akhir Liga Europa dan bakal bertemu Valencia.

 

Manchester United

Jurulatih : Ole Gunnar Solskjaer

Ranking EPL : 6 (64 mata)

Baki Perlawanan : 4 – Man City (H), Chelsea (H), Huddersfield (A), Cardiff (H)

Peluang ke UCL : 55%

Prestasi yang tidak menentu Manchester United bakal menentukan hala tuju pasukan itu sendiri selepas tewas 4-0 kepada Everton. Peluang Man United dilihat agak tipis apabila mereka bakal bertemu dengan dua pasukan di top 6 iaitu Man City dan Chelsea, namun ia akan berlaku di stadium keramat mereka di Old Trafford. Man United mampu menghalang Man City untuk bergelar juara atau menghalang Liverpool dengan memberi kemenangan kepada Man City. Tetapi itu akan menyebabkan mereka bakal tersingkir daripada perebutan slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

 

Sukar untuk meramal pasukan mana yang akan mengisi dua slot lagi untuk layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Prestasi setiap pemain dalam pasukan bakal menentukan hala tuju pasukan itu sendiri. Jadi siapa pilihan anda untuk mengisi dua slot ke Liga Juara-Juara bersama Liverpool dan Manchester City?

Foto: Sportskeeda