Oleh : Muhammad Al Zaem

Tamat perlawanan kelima peringkat kumpulan Piala Malaysia semalam, 6 pasukan mengesahkan tiket mereka untuk ke suku akhir iaitu Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Felda United dan T-Team. 2 slot ke suku akhir lagi akan diisi samada antara Kedah atau Sabah dan Kuala Lumpur atau Selangor selepas perlawanan terakhir kumpulan nanti.

Dalam Kumpulan A, Perak bergelar juara kumpulan dengan 13 mata selepas menumpaskan Johor 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin. Gol Perak telah dijaringkan oleh Isma Alif (38’) dan Failee Ghazali (89’) manakala gol saguhati Johor dijaringkan oleh Ashadi Yusof pada minit ke 90.

Jaringan Khyril Muhymeen pada minit ke 44 sudah cukup untuk memberi nafas buat pasukannya, Kedah untuk merebut satu lagi slot ke suku akhir. Kedah menang 1-0 ke atas Sabah di Stadium Darul Aman dan merampas kedudukan kedua  Kumpulan A mengatasi Sabah dengan jumlah jaringan.

Dalam Kumpulan B, Negeri Sembilan bangkit untuk menewaskan Sime Darby FC dengan keputusan 2-1 di Stadium Selayang manakala Terengganu pula menewaskan PKNS FC 1-0 di Stadium MBPJ hasil jaringan tunggal Abdul Manaf Mamat. Hasil kemenangan ini, kedua-dua pasukan sudah mengesahkan slot ke suku akhir dengan kedua-dua pasukan mendahului kumpulan tersebut dengan 12 mata.

Walaupun dihampakan lawan masing-masing namun, Kelantan dan Felda United sudah mengesahkan slot mereka untuk ke suku akhir dalam Kumpulan C. Kelantan diikat dengan keputusan seri 1-1 oleh Johor FC di Stadium Pasir Gudang. Tuan rumah mendahului melalui jaringan Mohd Akmal Mohd Nor tetapi Mohd Azammuddin Akil membalas untuk pasukan pelawat.

Di Stadium Negeri, Sarawak menghampakan Felda United dengan kemenangan 1-0 tipis hasil jaringan Bobby Gonzales pada minit ke 16.

Kumpulan D menyaksikan kebangkitan Selangor di bawah kendalian jurulatih sementara mereka, P. Maniam dengan kemenangan bergaya 4-1  dengan menumbangkan PDRM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Jaringan diperolehi melalui kapten mereka, Amri Yahya (31’), Safiq Rahim (44’), Amirul Hadi Zainal (71’) dan Rudie Ramli (89’) manakala gol saguhati pasukan PDRM dijaringkan pada minit ke 63 oleh Fauzi Abd Majid.

Satu slot suku akhir yang diisi dari kumpulan ini adalah pasukan T-Team yang diikat pasukan Kuala Lumpur dengan keputusaan 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Percaturan Razip Ismail menukar dua pemain pada permulaan babak kedua memberikan impak positif apabila pemain skuad Olimpik kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 45. Gol T-Team pula dijaringkan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke 26.

Penentuan dua slot lagi untuk suku akhir akan menyaksikan Kedah menentang Perak, Sabah menentang Johor dan Selangor perlu menumpaskan lawan setempat mereka Kuala Lumpur.