Connect with:




Jika anda bekerja, tetapi tidak di bayar gaji malah tiada caruman KWSP yang dibuat, apa yang anda akan lakukan? Sudah tentu anda akan mengadu pada pihak berkuasa untuk menuntut hak anda!

Itu lah yang ingin dilakukan pemain Persatuan Bola sepak Perlis (PFA) yang tidak dibayar gaji apabila mereka mengancam untuk mengajukan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  kerana gaji mereka dipotong RM300 seorang bagi membayar gaji jurulatih pada Mac 2018.

Ditanya mengenai sebab perkara ini tidak didedahkan lebih awal, Ketua pasukan, Ezzrul Ikmanizar Abdul Rahman, 30,  menjelaskan pemain sengaja tidak membuka pekung dengan lebih awal kerana mahu isu gaji 27 pemain dan kakitangan PFA selama tujuh bulan diselesaikan secara elok.

Mereka turut mengecam tindakan Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan yang memaksa gaji 18 pemain bagi bulan tersebut dipotong kerana persatuan tidak mempunyai wang yang secukupnya untuk membayar gaji jurulatih.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk membuat aduan kepada SPRM sekiranya PFA ingin mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan kami yang mendedahkan salah laku mereka.

“Malah, caruman KWSP juga tidak dilakukan sejak Januari tahun lepas sebelum isu tunggakan gaji didedahkan,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, PFA sudah mengesahkan seramai empat penaja utama mereka menarik diri di saat akhir berhubung kemelut tunggakan gaji yang melanda persatuan berkenaan.

Menurut laporan Berita Harian, walaupun tidak mendedahkan berapa jumlah tajaan terlepas itu, namun difahamkan ia berjumlah jutaan ringgit kerana membabitkan kumpulan penaja.

Lebih menyedihkan, masalah berkenaan muncul ketika perbincangan bersama penaja sudah mencapai tahap 95 peratus dan hanya menunggu untuk menandatangani persetujuan.

Terdahulu, seramai 18 pemain Perlis Northern Lions 2 (PNL 2) mendakwa mereka terpaksa melakukan kerja lain termasuk menjadi nelayan untuk menyara hidup kerana belum mendapat tunggakan gaji daripada PFA. -BERNAMA