Connect with:




Satu slot ke Liga Perdana Inggeris kini menjadi rebutan kepada empat pasukan apabila mereka akan bermain dalam play-off. Empat pasukan itu adalah Leeds United, West Bromwich Albion, Aston Villa dan Derby County.

Keempat-empat pasukan ini layak ke saingan play-off selepas menamatkan saingan Liga Kejuaraan di kedudukan ketiga sehingga enam. Hanya satu pasukan sahaja akan mengiringi Norwich City dan Sheffield United ke kancah Liga Perdana Inggeris.

Mengikut format, dua pasukan teratas dan pemenang play-off daripada Liga Kejuaraan akan menggantikan tiga pasukan tercorot daripada Liga Perdana Inggeris. Tiga pasukan daripada Liga Perdana Inggeris yang turun ke Liga Kejuaraan adalah Cardiff City, Fulham dan Huddersfield Town.

Saingan separuh akhir play-off akan menyaksikan Leeds United akan bertemu dengan Derby County sementara West Brom akan menentang Aston Villa. Pemenang dalam dua perlawanan separuh akhir akan bertemu di final untuk menentukan satu pasukan yang akan ke Liga Perdana Inggeris.

Mari kita lihat sedikit maklumat tentang keempat-empat kelab yang akan bertanding di saingan play-off Liga Perdana Inggeris.

 

Leeds United

Jurulatih : Marcelo Bielsa

Kapten : Liam Cooper

Gelaran : The Peacocks

Leeds United yang berada di bawah bimbingan jurulatih Marcelo Bielsa nampaknya kembali untuk berada di landasan yang terbaik selepas menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Kejuaraan. Peluang Leeds untuk kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris musim hadapan nampaknya cerah apabila bakal menentang kelab yang berada di kedudukan keenam, Derby County. Namun Leeds perlu waspada ancaman daripada pasukan yang dibimbing oleh Frank Lampard.

Sepanjang musim ini, Leeds telah memenangi 25 perlawanan, seri 8 kali dan tewas 13 kali. Leeds juga mempunyai pemain-pemain yang berpotensi untuk membantu Leeds dalam setiap perlawanan. Awal Januari, mereka telah mendapatkan khidmat penjaga gol Real Madrid, Kiko Casilla. Mereka turut mempunyai pemain-pemain seperti Ezgjan Alioski, Pablo Hernandez, Mateusz Klich, Patrick Bamford dan penjaring terbanyak mereka Kemar Roofe dengan 14 gol.

 

West Bromwich Albion

Jurulatih : James Shan (Caretaker)

Kapten : Chris Brunt

Gelaran : The Baggies

Kali terakhir West Brom berada di Liga Perdana Inggeris pada musim 2017/18, kini peluang untuk kembali semakin tinggi. Mereka perlu menang dalam semua perlawanan play-off dan slot ke Liga Perdana Inggeris akan menjadi milik mereka. West Brom kini dibimbing oleh caretaker, James Chan yang mengambil alih daripada Darren Moore pada 9 Mac lalu. Prestasi West Brom semakin meningkat dengan mencatat 23 kemenangan, 11 seri dan 12 kali tewas.

Ramai pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris masih bersama West Brom antaranya, kapten, Chris Brunt, Kieran Gibbs, Hal Robson-Kanu, James Morrison, Jake Livermore, Matt Phillips, Gareth Barry, Jay Rodriguez, Craig Dawson dan Ahmed Hegazi. West Brom mempunyai dua penjaring utama iaitu Dwight Gayle dengan 23 gol dan Jay Rodriguez dengan 22 gol.

 

Aston Villa

Jurulatih : Dean Smith

Kapten : James Chester

Gelaran : The Villa

Aston Villa dahulunya antara pencabar di Liga Perdana Inggeris, namun selepas itu mereka mengalami kemerosotan prestasi menyebabkan mereka bermain di Liga Kejuaraan dalam tempoh yang agak panjang. Musim lepas, Aston Villa gagal melepasi saingan play-off selepas Fulham berjaya menewaskan mereka di perlawanan akhir. Kini peluang mereka datang sekali lagi. Anak buah Dean Smith semestinya mahu memanfaatkan peluang yang kedua ini.

Aston Villa kini dibarisi oleh ramai pemain yang berpotensi untuk menjadi pemain yang profesional. Jack Grealish antara pemain yang menjadi rebutan oleh beberapa kelab eropah selepas menunjukkan aksi yang memukau. Selain Jack, Aston Villa juga mempunyai beberapa pemain yang berbakat antaranya, Conor Hourihane, John McGinn, Jonanthan Kodija, Anwar El Ghazi dan penjaring terbanyak mereka, Tammy Abraham dengan 25 gol dalam Liga Kejuaraan.

 

 

Derby County

Jurulatih : Frank Lampard

Kapten : Curtis Davies

Gelaran : The Rams

Berada di bawah bekas pemain Chelsea dan Manchester City, Frank Lampard, Derby County bernasib baik apabila menang perlawanan terakhir mereka menentang West Brom. Jika mereka kalah, slot mereka akan diambil oleh Middlebrough yang juga mencatatkan kemenangan. Perbezaan satu mata yang berharga buat Derby untuk masuk ke slot play-off.

Prestasi Derby tidak begitu baik musim ini selepas hanya mencatat 20 kemenangan daripada 46 perlawanan. Walau bagaimanapun, Derby mempunyai beberapa pemain yang menjadi tumpuan antaranya, Harry Wilson, Jack Marriot, Martyn Waghorn, Tom Lawrence dan Mason Mount.

 

Foto : Sportskeeda