Connect with:




Pengendali Skuad Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee berharap anak-anak buahnya dapat mengelak daripada ‘sumpahan’ skuad senior Malaysia setelah tewas 0-1 kepada Singapura dan menyasarkan dua kemenangan awal pada aksi Kumpulan J pusingan kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2020 di Stadium Shah Alam malam ini.

Sebelum ini, skuad senior kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe mengalami kekalahan kepada Singapura pada aksi Kejohanan Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sekali gus gagal untuk ke perlawanan akhir dan akan bertemu Afghanistan pada penentuan tempat ketiga petang esok.

Kim Swee berkata sasaran dua kemenangan awal menentang Filipina dan Laos pada 24 Mac ini dapat mencerahkan peluang Malaysia layak ke pusingan akhir kejohanan di Thailand.

Beliau bagaimanapun mengakui kesemua pasukan termasuk China yang menjadi lawan terakhir Malaysia pada 26 Mac ini perlu diberikan perhatian berdasarkan persiapan rapi yang dijalankan oleh ketiga-tiga pasukan berkenaan.

“Kita tidak boleh ambil mudah dengan kesemua pasukan terutamanya Filipina yang menjadi tuan rumah Sukan SEA 2019 dan sudah pasti mereka bekerja keras sebelum menghadapi kejohanan ini,” katanya.

Pada masa sama, Kim Swee yakin dengan kehadiran penyokong yang bakal memberi semangat kepada skuad muda negara untuk memburu keputusan positif menentang Filipina malam ini.

Sementara itu, Jurulatih B-22 Filipina, Salvador Salvacion berkata pasukan beliau pasti akan menghadapi ujian getir dalam kejohanan ini tetapi beliau yakin anak buahnya akan memberikan aksi yang baik untuk layak ke pusingan akhir di Bangkok, tahun depan.

“Kami gembira berada di sini dan akan memberikan saingan yang terbaik dalam kejohanan ini.  Ada beberapa pemain baharu dalam kejohanan ini dan saya harap mereka akan membantu pasukan kami mendapatkan keputusan positif dalam kejohanan ini,” katanya. – BERNAMA

Foto : FAM