Connect with:




Debaran separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 kian dirasai dengan penyokong-penyokong Harimau Malaya sudah mula berlepas ke Bangkok demi menggalas misi menakluk Stadium Rajamangala esok dan difahamkan sudah ada penyokong yang memulakan perjalanan semenjak dari semalam lagi.

Demi cinta akan skuad kebangsaan, ada penyokong yang menaiki bas, keretapi dan ada ramai juga yang bergerak dengan menaiki kapal terbang untuk berlepas ke Bangkok. Atas rasa bertanggungjawap untuk berdiri di belakang pasukan, ‘ekor’ Harimau Malaya ini mengambil pelbagai cara untuk ke Bangkok  bagi merealitikan misi Takluk Rajamangala.

Belum lagi bercerita mengenai penyokong yang sanggup bergolok gadai serta menempuh perjalanan jauh yang memakan masa lebih 24 jam bagi menzahirkan rasa cinta akan skuad kebangsaan.

Difahamkan penyokong-penyokong yang memilih untuk memulakan perjalanan dengan menaiki bas telah pun berlepas ke Bangkok seawal jam 4 pagi tadi.

Bagi penyokong yang menaiki pesawat pula, mereka akan bertolak ke Bangkok pada Rabu termasuk penyokong yang menaiki pesawat khas disediakan Tan Sri Tony Fernandes dan Air  Asia.

Tidak ketinggalan pula penyokong yang membuat keputusan untuk bergerak dengan menaiki keretapi. Ada yang bergerak terus ke Bangkok dan ada juga yang menaiki keretapi hingga ke Hatyai dan menaiki pesawat dari sana.

Jika anda bukan penggemar bola sepak atau lebih tepat pencinta bola sepak, maka hal ini umpama perkara yang memenatkan dan jika anda merasa ianya hanya satu pembaziran wang  semata-mata untuk melihat dua kelompok lelaki mewakili negara masing-masing berlari merebut satu bola di tengah padang, maka anda bukanlah pencinta bola sepak.

Kerana hanya ‘ekor’ Harimau Malaya sejati sahaja yang tahu erti pengorbanan semua itu. Mereka tidak memikirkan jarak yang harus ditempuhi, tidak mengambil peduli berapa wang yang dimiliki kerana mereka seikhlas hati ingin berdiri di belakang pasukan, ke mana saja pasukan pergi.

Bagi mereka, tiada wang mampu membeli pengalaman yang mereka peroleh setiap kali melihat pasukan Harimau Malaya beraksi di tengah padang hanya atas satu rasa, rasa cinta yang mendalam akan pasukan Harimau Malaya.

Keazaman tinggi yang ditunjukkan ‘ekor-ekor’  inilah yang kita tagih dari pemain Harimau Malaya di Stadium Rajamangala esok. Buat barisan pemain Harimau Malaya, peminat sudah berdiri di belakang kalian, mereka membawa azam ingin menakluk Rajamangala bersama anda para pemain.

Di saat ada yang ragu akan kemampuan kalian, mereka masih setia melaungkan keyakinan, meletakkan setinggi harapan ingin melihat sekali lagi, kita menjadi kuasa besar Asia Tenggara.

Ayuh buktikan ungkapan ‘Jangan Kejut Harimau Yang Sedang Tidur’ bukan sekadar ungkapan, ayuh bangkit Harimau Malaya, ayuh tumbangkan sang Gajah Perang, keluarkan taring serta kuku tajam mu ayuh kita takluk Rajamangala

 

Foto : Facebook Football Association of Malaysia