Pemain import dari Cameroon, Jean Emmanuel Effa Owona muncul wira pasukan Negeri Sembilan apabila 2 gol sumbangan beliau membantu Negeri Sembilan muncul juara Perlawanan Sumbangsih atau dikenali juga sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah kali ke 28 apabila menewaskan Kelantan dengan keputusan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Perlawanan bermula dengan agak seimbang apabila kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan namun Kelantan terlebih dahulu mengacah kubu lawan hasil  percubaan Mohamad Ghaddar.

Selepas itu Kelantan nyaris mendapat gol pertama namun percubaan Norshahrul Idlan Talaha dihalang oleh pertahanan Negeri Sembilan walaupun penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias sudah tertewas.

Negeri Sembilan membalas melalui tandukan Effa Owona ke penjuru gol Kelantan tetapi sempat diselamatkan oleh pertahanan Kelantan.

Gol yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma pada minit ke-19 apabila Norshahrul Idlan Talaha bijak memperdaya pertahanan Negeri Sembilan sebelum menewaskan Farizal dengan mudah.

Pada minit ke-31 Effa Owona menceriakan penyokong Negeri Sembilan apabila menjaringkan gol penyamaan apabila rembatan kencangnya terbias pertahanan Kelantan seterusnya menewaskan Khairul Fahmi.

Pada penghujung babak pertama giliran Effa Owona sekali lagi mencemaskan kubu Kelantan namun percubaan beliau ditampan dengan baik oleh Khairul Fahmi.

Babak kedua bermula dengan serangan bertali arus kedua-dua pasukan dengan percubaan berbahaya Shakir Ali singgah di penjuru tiang pada minit ke-50. Selang beberapa minit, Effa Owona memecah kebuntuan gol dengan menanduk masuk hantaran Tengku Qayyum dari sebelah kiri untuk Negeri Sembilan mendahului Kelantan.

Tersentak dengan gol itu, Kelantan dilihat cuba bangkit mencari gol penyamaan namun tidak kesampaian malah dilihat semakin lesu. Jaringan tersebut kekal sehingga wisel penamat seterusnya mengangkat Negeri Sembilan sebagai juara Sumbangsih buat kali pertama.