Connect with:




Bagi menyemarakkan sukan renang di peringkat akar umbi, EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd (EduCity) hari ini melancarkan Program Pembangunan Renang EduCity (ESDP) yang juga program renang pertama melibatkan Orang Asli Seletar di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri.

Program pembangunan bakat yang julung kali diadakan di negeri ini akan berpandukan kepada tiga teras pembangunan iaitu program latihan elit, klinik kejurulatihan dan pertandingan.

Menurut Pengarah Urusan EduCity, En. Wan Ahmad Saifuddin bin Wan Ahmad Radzi, ESDP bakal memberi peluang kepada pelapis-pelapis renang baharu di peringkat akar umbi dan bawah umur untuk mengasah bakat mereka. Lebih manis, ESDP bakal bersifat inklusif dan turut melibatkan 34 orang bakat-bakat Orang Asli Seletar berumur 9 hingga 17 tahun, salah satu daripada 18 etnik Orang Asli di Malaysia yang penempatannya terletak tidak jauh dari Iskandar Puteri dengan sokongan 6 jurulatih Kelab Ezy Swim.

“ESDP bakal melibatkan tiga inisiatif utama iaitu Program Pembangunan Orang Asli Seletar, klinik kejurulatihan renang dan pertandingan novis, selain kejohanan renang EduCity Swim Meet yang telah pun diadakan setiap tahun sejak 2015.

“Inisiatif pembangunan Orang Asli Seletar akan berlangsung selama setahun dalam mencari bakat-bakat renang Orang Asli Seletar yang boleh diketengahkan ke peringkat elit, manakala klinik kejurulatihan renang dan pertandingan novis akan memberikan ruang kepada pelajar sekolah di sekitar Iskandar Puteri untuk mempelajari asas sukan renang. Tidak ketinggalan, kejohanan renang EduCity Swim Meet akan bertindak sebagai kejohanan platform antarabangsa melibatkan perenang dari Singapura dan Filipina”, ujar beliau.

Tambahnya:

“EduCity mendokong hasrat kerajaan negeri dalam membangunkan sukan di negeri Johor disamping menyumbang kepada penghasilan bakat-bakat baharu sukan renang menjelang SUKMA 2020 tahun depan. Sebelum ini, sudah ada atlet SUKMA yang lahir daripada program renang yang diadakan di EduCity dan tidak mustahil jika kali ini kita mampu melahirkan perenang bertaraf kebangsaan dalam kalangan Orang Asli Seletar melalui program yang telah direncanakan.”

Kesemua inisiatif-inisiatif ESDP tersebut akan diadakan sepanjang tahun di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri. ESDP juga mendapat sokongan daripada pemegang-pemegang taruh seperti Majlis Sukan Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Majlis Sukan-Sukan Sekolah Negeri Johor, dan Sports Johor.

Walau bagaimanapun, kelangsungan acara sukan di EduCity tidak terhenti di situ sahaja kerana banyak lagi acara dan aktiviti sukan yang dijadualkan berlangsung seperti berikut:

  1. Klinik Renang EduCity, 14 September 2019
  2. Junior Tennis Academy, 21-22 September, 26-27 Oktober 2019
  3. Junior Triathlon Clinic, 28 Septeber 2019
  4. EduCity Sports Carnival, 12 Oktober 2019
  5. EduCity Swim Meet, 12-13 Oktober 2019
  6. Asia Drone League, 19-20 Oktober 2019
  7. EduCity Uni Run, 7 Disember 2019

Maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti yang akan berlangsung di EduCity Sports Complex boleh diperolehi di laman Facebook rasmi https://www.facebook.com/educitysport/.