Pakatan Harapan (PH) Januari lalu telah membentangkan Tawaran Harapan Anak Muda PH bagi membantu para belia di Malaysia.

Salah satu komponen penting yang terdapat dalam tawaran tersebut adalah sukan dan rekreasi. Selepas memenangi Pilihanraya Umum baru-baru ini, sudah tentu rakyat akan menilai kerajaan untuk mengotakan janji yang telah diberikan menerusi tawaran ini.

Banyak aspek menarik yang ditawarkan namun Dunia Sukan mahu memberi fokus terhadap komponen sukan dan rekreasi.

Bagi PH, sukan dan rekreasi diletakkan sebagai satu keseimbangan dalam kehidupan. Masyarakat perlu menjadikan sukan sebagai kehidupan, bukannya sekadar bekerja semata-mata.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, PH mahu menawarkan siaran langsung secara percuma di RTM bagi perlawanan bolasepak dunia termasuk Liga Perdana Inggeris.

Ia kelihatan bakal menyebabkan kos yang tinggi kerana hak siaran sekarang ini bukan lagi murah seperti dahulu. Bagaimanapun, pemuda PH mempunyai formula dan komited untuk melaksanakan perkara ini.

PH juga akan membina lebih banyak laluan basikal lebih 30km di bandar-bandar utama selain membina litar lumba di kawasan tertentu.

Selain itu, 100 kawasan rekreasi hijau turut akan dibina di seluruh negara termasuk sekurang-kurangnya 10 taman air dan sukan lasak. Ini pastinya membantu meningkatkan lagi aktiviti sebegini dikalangan anak muda.

PH juga tidak melupakan industri yang semakin berkembang iaitu e-sukan. Dalam tawaran ini, mereka berjanji membina stadium e-sukan dan insfrastruktur bagi membantu anak muda yang berpotensi dalam bidang tersebut.

Tidak ketinggalan, mereka menawarkan sokongan terhadap institut dan insfrastruktur sukan eko seperti memanjat gunung, berbasikal merentas desa dan banyak lagi sukan rekreasi di kawasan tersebut.

Kesimpulannya, tawaran dalam komponen sukan ini nyata menarik kepada anak muda. Diharapkan agar kerajaan dapat melaksanan tawaran-tawaran ini selepas diberikan mandat oleh rakyat.