Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan untuk mencemar duli dan merasmikan kejohanan penutup tirai Jelajah Dunia ‘Match-Racing’ ALPARI 2012, Piala Monsun dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Ri-Yaz Heritage Resort, Marina & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu petang tadi.

Sebelum itu baginda telah diperkenalkan kepada para ‘skipper’ yang akan bertanding dalam kejohanan yang berprestij itu, di antaranya ialah dua orang pendahulu keseluruhan, Bjorn Hansen (Mekonomen Sailing Team) dan Ian Williams (GAC Pindar). Turut tersenarai dalam senarai ‘skipper’ tersebut ialah juara Jelajah Sirkit ‘Match-Racing’ Malaysia 2012, Jeremy Koo.

Selepas sahaja upacara perasmian tersebut, baginda bersama beberapa orang kenamaan lain turun dan bertanding dalam kejohanan Piala ‘Coronation’. Dalam pertandingan ini lapan pasukan yang bertanding bersama dengan para kenamaan tadi akan berlumba secara perlepasan beramai-ramai yang melibatkan tiga perlumbaan.

Di akhir tiga perlumbaan tersebut gandingan Bjorn Hansen dan DYMM Sultan Mizan telah muncul sebagai juara apabila memenangi dua dari tiga perlumbaan tersebut. Trofi kejohanan telah disampaikan oleh DYMM Sultanah Nur Zahirah.

Pusingan kelayakan Piala Monsun akan bermula esok.