Penyerang Argentina, Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain sedia diturunkan dalam perlawanan menentang Tottenham Hotspur dalam pusingan kalah mati Liga Juara Juara, awal pagi esok.

Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri berkata, selain Dybala dan Higuain, Douglas Costa juga akan diturunkan ketika naib juara musim lalu itu cuba untuk layak ke suku akhir walaupun sekadar seri 2-2 di Turin bulan lalu.

Dybala yang menjaringkan gol kemenangan ketika bertemu Lazio minggu lalu dan ia adalah perlawanan pertamanya sejak pulih daripada kecederaan hamstring sebelum ini.

Higuain yang menjaringkan dua gol ketika bertemu Spurs pada perlawanan pertama, diketepikan akibat kecederaan buku lali sejak tiga minggu lalu.

“Mereka akan bermain. Higuain sudah turun ke latihan dan sedia untuk bermain,” kata Allegri.

“Dybala sudah cergas sepenuhnya dan anda dapat lihat aksinya ketika menentang Lazio. Tetapi esok adalah perlawanan penting dan mereka semua mahu menjadi sebahagian daripadanya, walaupun bukan dalam keadaan 100 peratus cergas.

“Ada peluang baik untuk Douglas Costa bermain. Mereka mungkin dapat bergandingan ataupun tidak.”

Sementara itu, Mario Mandzukic tidak dapat diturunkan akibat kecederaan manakala Federico Bernardeschi, Juan Cuadrado dan Benedict Howedes juga tidak dapat disenaraikan.

Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon percaya Juventus akan lebih berbahaya sekiranya terdesak.

“Tugasan ini memang sukar apatah lagi beraksi di tempat lawan namun kami tidak gentar dengan sebarang cabaran.

“Memang ada yang meragui kemampuan kami melalui keputusan perlawanan pertama, tetapi kami akan tetap melawan,”.

Foto Kredit :90min(dot)com