Tiga atlet paralimpik negara telah memenangi pingat di Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia di London layak untuk menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail ketika mengesahkan perkara tersebut berkata, Mohamad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly akan menerima ganjaran sebanyak RM80,000 kerana berjaya membawa pulang pingat emas buat negara.

Manakala Mohd Ridzuan Mohd Puzi yang meraih pingat perak bakal menerima wang sejumlah RM40,000 di atas kejayaan yang telah dilakarkan olehnya dalam acara 100 meter.

Ziyad juga meraih wang tambahan sebanyak RM10,000 kerana berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru (T20).

Beliau juga berharap supaya kejayaan yang dilakarkan oleh Ziyad dan Latif mampu memberikan motivasi kepada mereka supaya lebih bersemangat untuk beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada bulan depan dan mampu bersaing bersama atlet normal.

“Ini merupakan peluang untuk mereka berdua mencipta sejarah menjadi atlet paralimpik pertama yang memenangi pingat Sukan SEA dan Para ASEAN.

“Saya percaya mereka ada potensi untuk melakukannya,” kata Shapawi ketika ditemui.

Ziyad bukan sahaja memenangi emas bahkan juga dia telah memecahkan rekod dunia miliknya dalam acara lontar peluru (F20), manakala Latif berjaya mengekalkan emas lompat jauh kategori (T20). Ridzuan memenangi pingat perak bagi acara 10 meter kategori (T36).