Connect with:




Kepulangan kali kedua pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo ke kelab lamanya yang berpangkalan di Old Trafford sekali lagi berakhir dengan kemenangan apabila membantu Juventus membenam Manchester United dengan kemenangan tipis 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Meskipun tidak menjaringkan gol, Ronaldo tetap menjadi watak utama untuk membantu jaringan Paulo Dybala pada minit ke-17 bagi memastikan juara Itali itu kekal di puncak kumpulan H dengan kelebihan lima mata mengatasi United.

Skuad bimbingan Jose Mourinho masih boleh menarik nafas lega apabila Valencia terikat seri 1-1 menentang Young Boys ditempat lawan meletakkan United kekal ditangga kedua kumpulan H dengan kelebihan dua mata keatas kelab dari Sepanyol itu.

“Stabiliti dan pengalaman yang dimiliki pemain Juventus jelas berbeza dan mereka memiliki tahap kualiti yang sangat jauh berbeza dari kami.

“Tiada apa hendak saya komen mengenai pemain saya melainkan kekal positif dengan kesungguhan mereka,” ujar Mourinho.

Kekalahan itu menyaksikan Mourinho mengalami kekalahan ke empat musim ini dan sekali lagi memberi impak terhadap spekulasi mengenai masa depan pengurus dari Portugal itu bersama The Red Devils.

United harus berterima kasih kepada penjaga gawang mereka, David De Gea yang mempamerkan aksi memukau menafikan beberapa percubaan lawan bagi mengelak pasukannya dari dibelasah.

Kunjungan pertama Ronaldo ke Old Trafford ketika mewakili Real Madrid pada 2013 disambut sebagai wira atas pencapaiannya ketika bersama United selama enam musim dari 2003 hingga 2009 dan telah merekodkan 118 gol.

Selama bersama United, ketua pasukan Portugal itu telah membantu Red Devils menjulang tiga trofi Liga Perdana Inggeris dan kejuaraan pertama Liga Juara-Juara daripada lima yang dimilikinya turut hadir ketika beliau mewakili United.

Ketika awal penyertaan Ronaldo ke Juventus, beliau sekali lagi terpalit isu kontroversi apabila dikaitkan dengan tuduhan rogol di Amerika Syarikat.

Menerima sokongan penuh dari kelab barunya yang melaburkan 112 juta eura (RM534.87 juta) bagi membawa pemain berusia 33 tahun itu ke Turin Julai lalu bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Namun begitu atmosfera sambutan yang diberikan ketika kunjungannya ke Old Trafford kali ini tampak berbeza. Hanya sorakan kecil yang kedengaran ketika nama beliau diumumkan dalam senarai barisan pemain Juventus.

 

Foto : GOAL.com

Sumber : AFP