FAKTOR usia yang masih muda dan jauh lebih tangkas malah diperkuatkan pemain belia negeri, benar-benar menjulang regu Dunia Sukan untuk bergelar juara Rejam Media-Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) 3/2012 di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, baru-baru ini.

Dengan cuma melalui tempoh setengah jam perlawanan akhir hasil rejaman padu dan tajam apit kanan, regu laman berita sukan dalam talian dan majalah elektronik itu menjulang trofi rebutan dan ganjaran RM240 setelah menewaskan tuan rumah, Rejam Rebels 15-6, 16-14.

Namun Dunia Sukan (Khairul Amirul Abd. Rahman, Putera Aidil Israfil Kamaruzaman dan Khairul Najmi Nadzri) tetap dipaksa bekerja keras dan nyaris ke set penentuan ekoran tentangan sengit Rejam Rebels (Khairul Azra Ghazali, Noormanshah A. Rahman dan Khairul Faizee Mahmod) dalam set kedua.

Buat kali keduanya, tuan rumah sekadar berpuas hati selaku naib juara dan RM160 seperti mana Libas Media-Milo Siri 2/2011: Ulang Tahun Kedua Keris di gelanggang sama, tahun lalu ketika ditewaskan MSN B 0-2 (12-15, 15-17).

Pada separuh akhir, Dunia Sukan menewaskan Harian Metro (Ku Mohd. Khairul Affendy Ku Kasim, Shaiful Md. Nor dan Arman Muktar) 17-15, 16-14 sementara Rejam Rebels mengatasi rakan sekelab, Rejam All-Stars (Idian Bah Lunggok, Azmi Mansor dan Muhammad Haffizul Ibrahim) 15-9, 15-7 dengan yang kalah berkongsi tempat ketiga dan RM100.

Putera Aidil Israfil yang pernah dipanggil menjalani ujian pemilihan skuad elit dan pelapis negara di Taman Keramat, Kuala Lumpur, awal Mac lalu, turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Rejam Media-Keris 3/2012.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong yang turut menyaksikan perlawanan akhir kejohanan yang disertai enam lagi regu – Keris Tuah, Keris Jebat, Rejam Jer!, Berita Harian, New Straits Times Press dan Sinar Harian.

Kejohanan berformat liga sepusingan berkumpulan dan kalah mati ini ditaja Rejam Pallas, jenama kasut sepak takraw tempatan terkenal keluaran Southern Rubber Works Sdn. Bhd.